Khamis, 15 Disember 2016 | 9:22pm
KERJA-KERJA membersihkan kawasan dicemari diesel di tebing dan tepi laluan di KM256.5 PLUS. - Foto Ihsan Bomba

Bomba bantu bersih diesel tumpah di KM256 PLUS


KERJA-KERJA membersihkan kawasan dicemari diesel di tebing dan tepi laluan di KM256.5 PLUS. - Foto Ihsan Bomba

KUALA KANGSAR: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih membantu membersihkan kawasan dicemari diesel yang bocor selepas sebuah lori tangki terbalik di Kilometer 256.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hala utara, dekat sini, sehingga menyebabkan kesesakan teruk, Sabtu lalu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Khairi Anuar Shaharuddin, berkata anggota bomba memulakan operasi pembersihan di kawasan itu berdekatan Terowong Menora sejak Ahad lalu dengan menggali tanah yang tercemar di bahagian tebing dan bawah tepi lebuh raya dan memasukkannya ke dalam guni.

Katanya, pihaknya turut menyembur air menggunakan dua pam di kawasan tebing, sungai dan batu yang tercemar bagi mengeluarkan sisia minyak.

"Pihak bomba membuka laluan dengan menggunakan jentolak bagi membolehkan pihak bomba memunggah guni berisi tanah tercemar diesel ke dalam kenderaan pacuan empat roda dari lokasi kawasan tercemar untuk dibawa ke bahagian atas lebuh raya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan masih dijalankan sehingga pencemaran minyak di kawasan sekitar lebuh raya itu bersih sepenuhnya.

Dalam kejadian itu pada 8 pagi, tangki berisi muatan 8,000 liter diesel dibawa lori itu bocor dan menyebabkan bahan api itu tumpah.

Kejadian itu turut menyebabkan ribuan pengguna PLUS antara Ipoh dan Kuala Kangsar terkandas dan terperangkap dalam kesesakan teruk selama beberapa jam selepas lori berkenaan terbalik dan merintangi di tengah lebuh raya hala utara hingga menghalang sepenuhnya laluan itu.

67 dibaca
Berita Harian X