Selasa, 9 Disember 2014 | 9:15pm
Dollah Salleh berdepan ujian getir di Hanoi, Khamis ini.

Piala AFF: Dollah harus rombak benteng temu Vietnam

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh perlu merombak benteng pertahanan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, Khamis ini.

Bekas pemain tengah kebangsaan era 70-an, Bakri Ibni berkata kelonggaran di barisan pertahanan negara pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, Ahad lalu menjadi punca kekalahan Malaysia 1-2 kepada Vietnam.

"Pada aksi di Shah Alam, saya lihat pemain pertahanan kita kerap meninggalkan posisi mereka membantu bahagian tengah ketika menyerang kubu Vietnam sehingga hanya tinggal dua pemain pertahanan.

"Ini memudahkan lawan melakukan serangan mengejut menerusi corak permainan pantas. Saya harap Dollah dapat memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan pada aksi di Hanoi nanti.

"Penyerang lawan mempunyai larian pantas ketika serangan balas," kata Bakri yang juga bekas pemain Perlis.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran edisi kedua Kejohanan Bola Sepak Bawah 19 Tahun Piala 1Malaysia anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), di sini, hari ini.

Bekas pengendali pasukan Perlis dari 1981 hingga 1983 itu turut bimbang moral skuad Harimau Malaya, terjejas pada aksi timbal balik berikutan tindakan liar segelintir penyokong negara menyerang penyokong Vietnam pada aksi di Shah Alam kerana tidak dapat menerima kekalahan tersebut.

Pandangan Bakri turut disokong bekas Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Peter Velappan yang menggesa Dollah agar memperkuatkan benteng pertahanan pada aksi Khamis ini.

Beliau berkata adalah penting bagi jurulatih Harimau Malaya itu merombak barisan pertahanan negara untuk mengekang asakan pasukan Vietnam yang diketuai Nguyen Van Quyet.

"Saya boleh katakan gaya permainan Vietnam seperti Jerman (juara Piala Dunia 2014). Mereka sering mengucar-kacirkan barisan pertahanan seperti dipamerkan pada separuh akhir pertama lalu.

"Dollah perlu mencari cara terbaik untuk mengekang situasi ini," kata Velappan yang juga bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia. - BERNAMA

30 dibaca
Berita Harian X