Sabtu, 10 Disember 2016 | 1:14pm

Kit Siang label UMNO seperti Nazi


Penasihat DAP, Lim Kit Siang di Kovensyen Nasional Parti Amanah Negara di Pusat Konvensyen Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini melabelkan UMNO seperti Nazi apabila menyerang parti itu pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.

"Selepas mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sangat jelas ada kempen besar ala Nazi yang disebarkan UMNO mewujudkan kebencian (kepada DAP).

"Propaganda ala Nazi pertama, saya ada senarai Kabinet bayangan. Propaganda kedua, saya sebagai sub-ejen kepada George Soros.

"Ada karikatur menunjukkan tangan saya memegang Tun Dr Mahathir, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya pada sidang media selepas Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu berucap sempena Konvensyen Parti Amanah Negara, di sini, sebentar tadi.

Sidang media itu disertai Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau menganggap mana-mana parti yang menerima pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai penyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau juga menganggap PAS sebagai parti yang keliru kerana memutuskan hubungan dengan pakatan harapan tetapi masih menjadi kerajaan bersama DAP dan PKR di Selangor.

157 dibaca
Berita Harian X