Isnin, 5 Disember 2016 | 11:13pm

Agro World sasar eksport 100 tan kambing sejuk beku sebulan


ABD Majid (kiri) dan Siti Nur Cahaya pada pelancaran pek daging kambing sejuk beku keluaran Agro World Channel baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Agro World Channel Sdn Bhd menyasarkan untuk mengeksport lebih 100 tan daging kambing bernilai lebih RM6 juta sebulan terutama ke China mulai tahun hadapan.

Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Abd Majid Zainal Abidin, berkata, jumlah itu hanya eksport daging belum termasuk tulang, daging bahu dan bahagian dada kerana kambing dikategorikan kepada bahagian tertentu sebelum dipasarkan.

"Kambing mendapat permintaan yang baik di luar negara terutama pasaran China yang sudah menempah 50 tan tahun hadapan.

"Kita jangka permintaan dari China boleh mencecah hingga 500 tan, ...cuma isu ketika ini ialah keupayaan kita memenuhi permintaan berkenaan.

"Buat masa ini penternakan syarikat diusahakan di tapak seluas 40 hektar di Pekan, Pahang selain 20 hektar di Bagan Datoh, Perak yang akan turut dijadikan pusat penyembelihan dan pembungkusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran produk daging kambing sejuk beku (Frozen Lamb) dan perjanjian persefahaman antara Agro Word Channel dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Raub, Pahang, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Konsortium Koperasi Wanita, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman; Pengarah Eksekutif Agro World Channel, Datin Seri Siti Nur Cahaya Ramlan dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Raub, Zulkifli Mohd Yusuf dan Chef Eksekutif, Mohd Shafik Mohd Taufik.

Abd Majid berkata, syarikatnya kini mencari lebih banyak tanah untuk dimajukan sebagai kawasan penternakan di seluruh negara.

"Kita mesti merebut peluangini kerana permintaan memang sangat menggalakkan. Justeru kami mengambil pendekatan bekerjasama dengan pertubuhan peladang kawasan dan penternak persendirian.

"Penternak akan diberi bantuan membaik pulih dan menaik taraf kawasan penternakan di samping bantuan baka. Hasil ternakan akan dibeli semula oleh Agro World Channel," katanya.

Majlis pelancaran frozen lamb itu katanya, bertujuan mempopularkan lagi daging kambing segar selepas menjalani proses sejuk beku dengan menggunakan teknik vakum dan orang ramai boleh membelinya di Bazar Agro seluruh negara.

Selain penternakan dan eksport daging kambing, Agro World Channel turut terbabit dalam penanaman buah naga di Johor, pengilangan minuman kesihatan serta penternakan udang kara, udang harimau dan udang kertas dalam sangkar.

Berita Harian X