Khamis, 1 Disember 2016 | 12:06am

Graduan OUM jual cendol 'Cendolicious' dalam talian

KOTA KINABALU: Bersantai hujung minggu di rumah dalam keadaan cuaca panas di luar, tentu menarik jika dapat menikmati aneka cendol yang segar, namun pasti kempunan jika malas keluar membelinya.

Namun, bagi penduduk sekitar bandar raya ini, mereka tidak perlu bersusah payah menghidupkan enjin kenderaan untuk ke gerai mahupun pasar malam semata-mata membeli cendol.

Ini kerana, seorang pemuda dari Kampung Warisan, Inanam, menyediakan perkhidmatan penghantaran lebih 10 jenis cendol ke mana saja lokasi sekitar daerah ini, melalui perniagaan yang dijalankan menerusi konsep secara dalam talian.

Walaupun ijazah pentadbiran perniagaan serta kerja tetap dengan sebuah badan berkanun di Keningau, ia bukan penghalang buat Mohd Raffe Juslee, 28, menjalankan perniagaan cendol.

Berbekalkan jenama Cendolicious, beliau menawarkan pelbagai perisa cendol termasuklah cendol jagung, ros, santan, susu, kacang merah, cafe latte, buah-buahan dan madu.


MENGETENGAHKAN jenama Cendolicious, antara cendol yang dijual termasuklah cendol jagung, ros, santan, susu, kacang merah, cafe latte, buah-buahan dan madu. - Foto Nazllie Zainul


MOHD Raffe (kiri) bergambar bersama pelanggan Cendolicious yang membeli cendol buatannya. - Foto Nazllie Zainul

Melihat kejayaan konsep perniagaan makanan secara dalam talian khususnya produk kek dan biskut, Mohd Raffe berkata, beliau mengambil inisiatif mencari kelainan dengan berniaga cendol yang sebelum ini biasanya cuma boleh dibeli di restoran mahupun gerai tepi jalan.

Katanya, resepi cendol turun-temurun ibunya yang terkenal dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara pada setiap musim perayaan atau kenduri, menjadi pencetus idea buat dirinya memulakan perniagaan berkenaan.

Selain itu, beliau memilih cendol sebagai subjek utama perniagaan disebabkan minuman itu adalah hidangan kegemarannya sejak kecil.

"Saya mula berniaga cendol sejak setahun lalu namun semakin aktif sejak tiga bulan lalu. Saya mempelajari cara membuat cendol daripada ibu dan apabila mencuba sendiri serta memberi cendol buatan saya kepada rakan, ramai mencadangkan agar saya memasarkan minuman ini.

"Selepas itu, saya terfikir mungkin bagus juga kalau saya memulakan perniagaan cendol secara dalam talian tanpa perlu membuka gerai. Cendol dihasilkan adalah berdasarkan jumlah tempahan tanpa perlu memikirkan tapak, gerai serta keperluan lain.

"Pada mulanya, saya hanya menjual lima jenis cendol iaitu jagung, kacang merah, santan, buah-buahan dan nata de coco sebelum ditambah mengikut permintaan pelanggan," katanya kepada BH.


MOHD Raffe menyediakan cendol mengikut resepi turun-temurun ibunya. - Foto Nazllie Zainul


MOHD Raffe memilih cendol sebagai subjek utama perniagaan disebabkan minuman itu adalah hidangan kegemaran sejak kecil. - Foto Nazllie Zainul

Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui, beberapa minggu berniaga cendol, permintaan amat memberangsangkan dan pelanggannya juga semakin ramai.

Mengenai keistimewaan cendol dijualnya, Mohd Raffe berkata, semua bahan membuat cendol dimasak sendiri demi menjaga kualiti minuman yang dihasilkan.

Graduan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) itu berkata, beliau tidak gemar menggunakan cendol mahupun bahan tambahan termasuk kacang merah dan sirap gula melaka yang sedia dijual dalam pasaran, sebaliknya memasak sendiri mengikut resipi ibu.

"Di bawah label Cendolicious, cendol dijual berharga RM3.50 hingga RM9.50 mengikut saiz cawan iaitu kecil, sederhana dan besar. Penghantaran membabitkan kawasan Inanam, Jalan Sulaman, Likas, Putatan dan Penampang serta lokasi sekitarnya dengan bayaran mengikut jarak. 

"Saya tidak mengenakan sebarang bayaran penghantaran jika tempahan melebihi 10 cawan," katanya katanya yang merancang membuka restoran dengan cendol sebagai hidangan utama selain menambah variasi sedia ada.


MOHD Raffe memilih menyediakan cendol tempahan pelanggan di dalam kereta bagi menjaga mutu kesegaran cendol sebelum dihantar kepada pelanggan. - Foto Nazllie Zainul


MOHD Raffe menjual cendol buatannya dengan harga antara RM3.50 sehingga RM9.50 mengikut saiz cawan iaitu saiz kecil, sedarhana dan besar. - Foto Nazllie Zainul

INFO: Pengasas Cendolicious
Nama Penuh: Mohd Raffe Juslee
Umur: 28
Kelulusan: Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM)
Nama Produk: Cendolicious
Jenis Cendol Dijual: Cendol jagung, ros, santan, susu, kacang merah, cafe latte, buah-buahan dan madu.
Harga Cendol: Antara RM3.50 sehingga RM9.50 mengikut saiz cawan iaitu saiz kecil, sederhana dan besar.

121 dibaca
MENGETENGAHKAN jenama Cendolicious, antara cendol yang dijual termasuklah cendol jagung, ros, santan, susu, kacang merah, cafe latte, buah-buahan dan madu. - Foto Nazllie Zainul
MOHD Raffe menjual cendol buatannya dengan harga antara RM3.50 sehingga RM9.50 mengikut saiz cawan iaitu saiz kecil, sedarhana dan besar. - Foto Nazllie Zainul
MOHD Raffe ketika ditemui selepas menguruskan perniagaan cendol buatannya. - Foto Nazllie Zainul
MOHD Raffe memilih menyediakan cendol tempahan pelanggan di dalam kereta bagi menjaga mutu kesegaran cendol sebelum dihantar kepada pelanggan. - Foto Nazllie Zainul
PELANGGAN Cendolicious menunjukkan cendol yang sudah dihantar oleh Mohd Raffe. - Foto Nazllie Zainul
Berita Harian X