Sabtu, 26 November 2016 | 3:15pm

100 pengumpul sertai Pameran Hobi


TENGKU Laksamana Kelantan, Datuk Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim melihat pameran permainan pada majlis perasmian Pameran Hobi 'Collectible Affair 2016' di Gelanggang Seni di Kota Bharu, hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Seramai 100 pempamer tempatan dari dalam dan luar Kelantan menyertai Pameran Hobi yang berlangsung di Gelanggang Seni di sini, bermula hari ini.

Program dua hari itu dianjurkan Pertubuhan Kerabat D'raja Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan. Ia dirasmikan oleh Tengku Laksamana Kelantan, Datuk Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim.

Program bermula seawal jam 10 pagi dipenuhi pengunjung terutama penggemar hobi mengumpul permainan jenis Gundam, Gunpla, miniatur, koleksi Star Wars dan kereta mini Hot Wheels yang dianggarkan kira-kira 20,000 unit semuanya.

Tengku Abdul Halim berkata, penganjuran pameran hobi itu adalah yang kedua selepas program pertama pada Mac lalu.

"Mac lalu, penganjurannya lebih banyak kepada pameran jenis hobi, tapi kali ini kita fokus lebih banyak kepada alat permainan daripada koleksi pempamer sendiri.

"Mungkin masa akan datang, kita boleh menganjurkan pameran hobi yang menjurus kepada permainan lain pula khususnya untuk wanita," katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Hobi 'Collectible Affair 2016' berkenaan.

Beliau yang juga penasihat urusetia pameran berkenaan, berkata program itu diharap dapat membuka minat anak muda dan menjauhi remaja dari gejala yang tidak sihat.

Yang turut mempamerkan koleksi Hot Wheels adalah isteri beliau, Tengku Puan Laksamana Kelantan Darul Naim, Datuk Seri Diraja Syarifah Azwan Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Koleksi Tengku Puan Laksamana hampir 300 buah itu dikumpul sejak lebih lapan bulan lalu dan pertama kali menyertai pameran berkenaan.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang dua hari program, antaranya pameran dan jualan Gundam serta Hot Wheels, pertandingan permainan siber dan pertandingan mengecat Plaster of Paris.

304 dibaca
Berita Harian X