Jumaat, 5 Disember 2014 | 3:35pm

Kontinjen Malaysia sasar 60 emas Sukan AUG


MENTERI Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Sukan Universiti ASEAN (AUG) ke-17, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said (tengah) pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang dan Lafaz Ikrar Kontinjen Malaysia ke AUG 2014, di Kementerian Pendidikan, Putrajaya hari ini. - Foto Abd Rahim Rahmat

PUTRAJAYA: Malaysia meletakkan sasaran memburu 40 pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) Ke-17 di Palembang, Indonesia yang bakal membuka tirai, Rabu ini.

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Prof Abdullah Mohamad Said berkata seramai 322 atlet akan menggalas cabaran negara dalam 20 acara bagi mempertahankan pencapaian terbaik selaku juara bertahan.

"Selepas kami teliti keupayaan serta prestasi atlet negara dan membuat perbandingan dengan atlet negara lain, sasaran 40 pingat emas adalah realistik," katanya.

Pada temasya sukan itu di Vientiane, Laos pada 2012, kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan apabila menghimpun keseluruhan 60 emas, 47 perak dan 72 gangsa.


ANTARA atlet yang hadir pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Kementerian Pendidikan di sini hari ini. - Foto Abd Rahim Rahmat

"Pada penampilan di Laos, kontinjen negara meletak sasaran awal 36 emas sahaja, namun bernasib baik apabila mencapai 60 emas. Kita berharap atlet negara sebelum ini yang meraih perak dapat menyumbangkan emas kali ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Atlet karate kebangsaan, Lim Chee Wei dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang. - BERNAMA

32 dibaca
Berita Harian X