Rabu, 23 November 2016 | 3:05pm

Lelaki hantar kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, TMJ ditahan

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seorang lelaki berusia 48 tahun di Bagan Serai, Perak malam tadi yang dipercayai membuat kenyataan jelik terhadap Institusi Kesultanan Johor menerusi aplikasi Facebook (FB).

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek ditahan pada jam 10.45 malam kerana membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, ia susulan satu laporan diterima pada jam 1.33 tengah hari semalam berhubung penyalahgunaan laman media sosial yang mengeluarkan kenyataan jelik, serta boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara.

"Polis juga merampas sekeping sim kad dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor dan TMJ," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sekiranya disabitkan kesalahan mengikut seksyen itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya," katanya.

Berita Harian X