Ahad, 20 November 2016 | 12:02am

Cipta kasut jenama sendiri


LEEZA menumpukan kasut jenis Oxford untuk wanita. - Foto Rohanis Shukri

BUKAN senang untuk menjadi senang, inilah kata keramat yang selalu menjadi pegangan kepada Leeza Buniran.

Bosan bekerja makan gaji dan ingin mencipta nama dalam dunia fesyen, membuatkannya tekad menubuhkan jenama kasut yang dikenali sebagai LERA.

Dia menumpukan kasut jenis Oxford untuk wanita dan idea itu timbul ketika bercuti ke Singapura.

"Balik dari cuti, saya membuat penyelidikan mengenai kasut jenis ini dan mencari tukang yang boleh menghasilkan kasut mengikut rekaan saya.

"Pada mulanya agak susah mencari pembuat kasut tempatan sehinggalah saya mula mendapat maklumat kasut sebegini boleh dibuat di Bandung atau Surabaya," katanya.

Dia mengumpulkan duit hasil kerja sampingan menjual kasut, selain simpanan daripada gajinya.

"Saya ambil masa agak lama juga mencari tukang kasut yang boleh memberikan kualiti dan harga yang terbaik.

"Ketika awal perniagaan dulu, saya kerap ulang-alik ke Bandung dan Surabaya," katanya.

Dalam menjalankan perniagaannya, Leeza bertanggungjawab dalam hal pengurusan hinggalah penghantaran kepada pelanggan dan kebanyakan kasutnya dijual secara dalam talian.


LEEZA pernah menjual kasut jenama LERA di bazar sekitar Lembah Klang, namun penjualan utamanya tetap secara dalam talian. - Foto Rohanis Shukri

Dapat jual 50 pasang

Adat dalam perniagaan, walaupun dapat menjalankan perniagaan dengan baik, namun membangunkan perniagaan sendiri adalah pengalaman yang mencabar buatnya.

"Bukan mudah untuk menjalankan perniagaan, tambahan pula apabila saya ambil keputusan berhenti kerja dan tumpu sepenuh masa kepada LERA.

"Saya bermula secara kecil-kecilan dengan menjual kira-kira 50 pasang kasut.

"Saya kena fikirkan kos. Saya memilih Bandung kerana terdapat banyak tukang kasut.

Bahannya juga pelbagai dan kosnya lebih murah jika dibandingkan di sini," katanya.

Promosi dalam media sosial

Ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata, dia mula menjual kasut Oxford jenama LERA secara dalam talian dengan menyasarkan pelanggan berumur 18 hingga 30 tahun.

Dia pernah menjual kasut jenama LERA di bazar sekitar Lembah Klang, namun penjualan utamanya tetap secara dalam talian.

"Trend pembeli kini berbeza dengan dua tahun lalu. Jika jual di bazar agak kurang mendapat sambutan kerana pembeli tidak membeli barangan berharga lebih RM100.

"Pembeli berasakan, jika di bazar, mereka selalunya mencari barangan berharga bawah RM100.

"Sebab itu, kini saya jarang menyertai bazar dan hanya mempromosikan jenama kasut ini dalam media sosial saja," katanya.


LEEZA menubuhkan jenama kasut yang dikenali sebagai LERA. - Foto Rohanis Shukri

Masalah komunikasi jadi cabaran

Mengenai cabaran sepanjang terbabit dalam perniagaan, Leeza berkata, masalah kerap berlaku adalah dari segi komunikasi dengan pembuat kasut.

Wujud salah faham terhadap warna yang dipilih dan bentuk kasut yang tidak standard.

Katanya, sebarang kesilapan adalah kos kerana syarikatnya tidak akan menjual kasut yang tidak menepati standard.

"Kadang-kadang, mereka (pembuat kasut) buat keputusan tanpa merujuk terlebih dulu. Misalnya, jika warna yang saya mahu tidak ada, mereka akan gunakan warna seakan-akan sama dengan apa yang saya mahu.

"Ini menjadikan kasut yang dihasilkan tidak menepati kehendak saya. Saya tidak akan jual kasut yang tidak menepati ciri-ciri yang saya mahukan," katanya.

Melangkah ke hadapan, Leeza berkata, syarikatnya bercadang untuk memperhebatkan lagi promosi LERA di pasaran tempatan dan luar negara.

Ini kerana hampir semua kasutnya ini menggunakan material kulit yang menjadi pilihan dalam kalangan wanita muda.

Info Leeza Buniran

  • 31 tahun
  • Asal Kota Tinggi, Johor
  • Graduan Pengurusan Majlis Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Berkahwin dan mempunyai seorang anak


LEEZA bertanggungjawab dalam hal pengurusan hinggalah penghantaran kepada pelanggan dan kebanyakan kasutnya dijual secara dalam talian. - Foto Rohanis Shukri
2038 dibaca
Berita Harian X