Selasa, 15 November 2016 | 12:29pm

Usher ingin terus cipta magis bersama Yuna


PENYANYI antarabangsa, Usher bersama Yuna.

KUALA LUMPUR: Penyanyi antarabangsa, Usher, 38, tidak ketinggalan mengucapkan selamat hari lahir kepada rakan duetnya, Yuna, sempena ulang tahun kelahiran ke-30 bintang wanita berkenaan, semalam.

Menggunakan laman Instagram untuk memberikan ucapan, artis kelahiran Texas, Amerika Syarikat terbabit turut meluahkan keinginannya untuk terus bekerjasama dengan penyanyi dan komposer dari Malaysia itu.

Sebelum ini, kedua-duanya berduet menerusi lagu Crush yang dimuatkan di dalam album terbaharu Yuna berjudul Chapters.

"Selamat hari lahir kepada kawan yang mempunyai jiwa yang indah. Mari kita teruskan mencipta magis," tulis Usher di laman sosial bergambar miliknya.

Bintang yang terkenal dengan lagu U Remind Me itu pernah meluahkan kekagumannya terhadap bakat penyanyi wanita terbabit dan berhasrat mahu terus bekerjasama dengannya selepas kejayaan Crush.

Menerusi kenyataannya sebelum ini, Usher mahu Yuna menjadi penerbit albumnya suatu hari nanti kerana beliau mempercayai kebolehannya.

Penyanyi, penari, penerbit dan pelakon itu juga menyifatkan Yuna sebagai artis yang memiliki 'tone' suara sangat indah, selain amat berkebolehan dalam bidang ciptaan lagu.

Yuna menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30 pada 14 November dan beliau difahamkan akan pulang ke ibu kota minggu hadapan kerana terbabit dengan pelancaran sebuah produk.

157 dibaca
Berita Harian X