;
Jumaat, 11 November 2016 | 11:47pm

Pensyarah UPSI, penyair, Dr Naffi Mat meninggal dunia


Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Kubu Road selepas solat Isyak, malam ini.

KUALA KUBU BARU: Dunia kesusasteraan kehilangan seorang penulis dan penyair apabila Dr Naffi Mat menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Juta di sini, kira-kira jam 6.15 petang tadi.

Allahyarham anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan meninggalkan seorang balu, Noraini Abdullah, 59 dan tiga anak, Ainal, 31; Ainil, 29 dan Ainul, 18.

Noraini berkata, kesihatan arwah merosot akibat komplikasi buah pinggang, jantung, paru-paru dan kencing manis dengan berulang kali mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak tiga tahun lalu.

"Arwah berpesan baru-baru ini jika ketiadaannya nanti semua bukunya disumbangkan kepada Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI dan sebahagiannya untuk Perpustakaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Baru," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Naffi sebelum ini berkhidmat di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sejak 2011 selepas berkhidmat di Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula 2001.

Selain mengajar, Naffi pernah menghasilkan kumpulan puisi Dongeng Purba (DBP, 1993); Lorong Atar (DBP, 2006); Mujahadah (DBP, 2013), Puisi-puisi Kecil ...Seorang Hamba(2011) dan terakhir Nyut Nurani (ITBM, 2015).

Naffi atau nama penanya Naapie Mat alumni zaman Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pernah bertugas sebagai pensyarah MPSI dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sehingga 1998.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Kubu Road selepas solat Isyak, malam ini.

361 dibaca
Berita Harian X