Selasa, 8 November 2016 | 12:35am

Note 7: Samsung mohon maaf dalam iklan di AS


GALAXY Note 7.

WASHINGTON: Samsung mengambil iklan di beberapa akhbar utama Amerika Syarikat (AS) untuk memohon maaf berhubung skandal Galaxy Note 7 yang berdepan masalah bateri mudah terbakar.

Masalah itu memaksa model telefon pintar yang popular itu ditarik balik daripada pasaran di seluruh dunia.

Iklan satu halaman penuh di dalam Wall Street Journal, New York Times dan Washington Post memuatkan pengakuan syarikat ia "tidak dapat" memenuhi janji untuk memberikan "teknologi hebat yang memakmurkan kehidupan manusia".

"Untuk ini kami benar-benar memohon maaf," kenyataan syarikat itu.

Syarikat itu juga berjanji melakukan penyiasatan terbuka terhadap masalah Galaxy Note 7.

Pengeluar telefon pintar terbesar Korea Selatan itu terpaksa menarik semula 2.5 juta Note 7 susulan aduan bahawa bateri lithium-ion peranti itu meletup ketika dicas - dan ketika waktu lain.

Syarikat itu juga terpaksa menarik balik telefon gantian pertama yang dihantar kepada pelanggan sebaik saja terbukti telefon pintar itu juga berbahaya.

"Kami akan menguji semula daripada segala aspek telefon, termasuk perkakasan, perisian, pembuatan dan struktur bateri secara keseluruhan.

"Kami akan bertindak secepat mungkin tetapi memerlukan sedikit masa untuk memberikan jawapan yang tepat," menurut Samsung. - AFP

115 dibaca
Berita Harian X