Rabu, 26 Oktober 2016 | 7:15pm

Kambing Boer antara ternakan diseludup dari Thailand

KOTA BHARU: Tiga warga Thailand ditahan di Ayer Lanas, Jeli, selepas dipercayai menyeludup 118 kambing jenis Boer dan 27 biri-biri ke negara ini.

Mereka ditahan Ahad lalu oleh sepasukan anggota Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) Unit Risikan Sempadan, yang meronda di kawasan kelapa sawit sebelum terserempak dengan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman, berkata pada jam 7.30 pagi, anggota PGA terserempak dengan suspek bersama ternakan berkenaan.

"Berlaku pergelutan dan cubaan melarikan diri selepas anggota PGA memperkenalkan diri sebelum ketiga-tiga suspek ditahan.

"Siasatan mendapati semua haiwan itu diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan dan nilainya dianggar RM145,000," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mohd Fakri berkata, suspek berusia antara 14 hingga 48 tahun itu ditahan mengikut Akta Imigresen dan direman 14 hari hingga 6 November ini manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Semua kambing dan biri-biri itu dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) manakala siastaan dilakukan mengikut Seksyen 11 (1) MAQIS 2011.

Dalam kes berasingan, polis memburu seorang suspek dikenali sebagai Saiful Zaman Che Hassan, 45, yang dipercayai menikam sahabatnya, Mohd Rozaimi Mt Kasim, 37, menggunakan senjata 'lawi ayam'.

Kejadian berlaku di Kampung Bukit Gua, Manek Urai, Isnin lalu, yang dipercayai berpunca daripada hutang dadah.

Berita Harian X