Khamis, 20 Oktober 2016 | 6:55am

800 kes taun di Haiti selepas Taufan Matthew


SEBUAH keluarga berdiri di tapak rumah mereka yang musnah selepas dilanda Taufan Matthew di Chabet, Haiti. - Foto AFP

GENEVA: Haiti merekodkan hampir 800 kes taun dalam tempoh seminggu selepas Taufan Matthew melanda, demikian lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebelum taufan melanda, ada petunjuk kes baru taun akan melonjak namun selepas bencana pihak berkuasa menghadapi masalah mendapatkan ujian sampel mangsa dijangkiti, kata Wakil WHO di Haiti, Jean-Luc Poncelet.

Apabila sistem ujian beroperasi sepenuhnya, pihak berkuasa kesihatan mengesahkan sejumlah besar kes jangkitan, katanya.

Beliau memberikan angka dari Kementerian Kesihatan bahawa 773 kes taun sudah didaftarkan antara 9 hingga 15 Oktober lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengumumkan penghantaran vaksin taun bernilai jutaan dolar dalam usaha menangani dan mencegah merebaknya wabak taun di Haiti.

Sejak Haiti menghadapi bencana gempa bumi pada tahun 2010, kira-kira 10,000 penduduk mati disebabkan taun.

Angka kes penghidap tahun melonjak kepada 300,000 pada 2011 namun ia menurun kepada kurang 30,000 beberapa tahun lalu.

Sebelum Taufan Matthew melanda Haiti pada minggu pertama Oktober, lebih 28,000 kes taun direkodkan tahun ini. - AFP

19 dibaca
Berita Harian X