Ahad, 16 Oktober 2016 | 12:10am
Raja Afiq (kiri) ketika berada di Kundasang bagi menjayakan episod drama Lara Cinta Ameena bagi slot Samarinda TV3. - Foto ihsan koleksi Raja Afiq
Anis Al-Idrus.

Raja Afiq putus cinta dengan Anis Al-Idrus


PERNAH sepakat menafikan percintaan mereka berakhir ketika ditemui wartawan pada pertengahan bulan lalu, pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz, Raja Afiq akhirnya mengakui hubungannya dengan Anis Al-Idrus terlerai sejak dua bulan lalu.

Anis sebelum ini menegaskan, gosip perpisahan mereka sebagai fitnah yang sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab manakala Raja Afiq pula memberikan alasan sibuk di lokasi penggambaran selain jarang bertemu sebagai punca cerita itu dibangkitkan.

Pertemuan dengan Raja Afiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 22, secara eksklusif di lokasi penggambaran drama terbaharunya di Kundasang, Sabah, baru-baru ini meleraikan segala tanda tanya itu apabila mengakui, mereka bukan lagi pasangan kekasih.

Aktor kacak yang mesra disapa Afiq itu berkata, mereka membawa haluan sendiri sejak dua bulan lalu selepas lima bulan bercinta namun memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan kerana belum bersedia.

"Ketika itu, saya masih tidak berani untuk bercakap mengenai perkara ini. Tetapi apabila fikir kembali, sampai bila saya mahu menyembunyikan kenyataan ini khususnya dengan peminat kerana nanti semua orang akan tahu perkara sebenar.


RAJA Afiq dan Anis Al-Idrus.

"Saya tiada niat untuk membiarkan orang luar berteka-teki mengenai hubungan kami. Saya juga tidak mahu perkara ini dijadikan isu, membuatkan saya membiarkan sahaja dulu sehingga bersedia untuk berkongsi mengenainya," katanya yang ketika ditemui sedang menjalani penggambaran drama bersiri Lara Cinta Ameena.

Drama yang mengambil latar Kundasang sebagai lokasi utama itu turut dibintangi Tiz Zaqyah dan Fazreen Rafi. Ia bakal disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3.

Raja Afiq menyifatkan pengakhiran kisah cintanya dengan Anis disebabkan tiada jodoh, selain jadual kerja masing-masing yang terlalu padat menyebabkan mereka tiada masa berhubung.

Enggan menyalahkan sesiapa apabila percintaan mereka putus di pertengahan jalan, fokus utamanya kini adalah membahagiakan keluarga terutama ibunya dan membina kerjaya yang baru bermula sebelum memikirkan perkara lain termasuk soal hati.

"Karier lakonan saya baru bermula. Saya mahu terlebih dulu, menggembirakan ibu dan membalas jasanya kerana dia sudah banyak berkorban membesarkan saya dan empat lagi kakak. Saya adalah anak tunggal lelaki dalam keluarga. Disebabkan itu, saya memikul tanggungjawab besar untuk melihat keluarga gembira dan hidup selesa.


Pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz, Raja Afiq mengakui hubungan cintanya dengan pelakon wanita sedang meningkat naik, Anis Al-Idrus sudah berakhir. - Foto Mohd Adam Arinin

"Mungkin sesetengah pihak tidak faham situasi ini, tetapi saya ingin menyatakan fokus utama sekarang adalah kerjaya dan keluarga. Mungkin Allah mahu memberikan jodoh yang lebih baik kepada saya dan Anis selepas apa yang berlaku ini," katanya.

Raja Afiq berkata, walaupun hubungan cintanya dengan Anis sudah berakhir, namun mereka masih berkawan dan berhubung seperti biasa cuma tidak sekerap dahulu.

Dalam perkembangan lain, anak bongsu empat beradik itu turut menzahirkan perasaan sedih dan kecewa apabila akaun Instagram miliknya digodam pihak tidak bertanggungjawab, pada Rabu lalu. Raja Afiq hanya menyedari akaun laman sosialnya itu tidak dapat digunakan selepas beberapa kali cuba mengakses masuk namun tidak berjaya.

"Selepas meminta bantuan rakan, baru saya tahu akaun saya digodam. Saya sedih dan kecewa kerana akaun Instagram itu menjadi medium untuk saya bekerja dan merapatkan hubungan bersama peminat. Memang saya boleh membuka akaun baharu tetapi sukar untuk mengumpul semula pengikut yang sudah mencecah hampir 290,000 pengikut sebelum ini," katanya yang kali pertama menjejakkan kaki Negeri Di Bawah Bayu.

1199 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »