Selasa, 11 Oktober 2016 | 9:29pm

Ayam hilang angkara ular sawa


PASUKAN Bomba dan Penyelamat Baling menangkap ular sawa batik di Kampung Banggol Lada, Baling. - Foto Safuri Kamarudin

BALING: Tanda tanya kehilangan lebih 10 ekor ayam sejak seminggu lalu terjawab apabila seekor ular sawa sepanjang empat meter ditemui dalam reban ayam di Kampung Banggol Lada, di sini pagi tadi.

Mohd Khir Osman, 57, berkata dia yang pada mulanya mengesyaki ayamnya dicuri terkejut apabila ketika memeriksa reban mendapati seekor ular sawa sedang menelan ayamnya jam 10 pagi itu.

"Saya pelik dengan kehilangan lebih 10 ekor ayam tetapi pagi tadi, ayam peliharaan yang berada dalam reban membuat bunyi bising

"Pelik dengan bunyi terbabit, saya memeriksanya sebelum mendapati terdapat seekor ular sawa yang sedang menelan ayam saya sebelum menghubungi bomba untuk menangkap ular terbabit," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Mohd Sofian Alias, berkata pihaknya mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular sawa batik seberat 50 kilogram dan panjang empat meter yang berada dalam reban.

"Kita akan menyerahkan ular terbabit kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Baling, petang ini untuk tindakan susulan," katanya.

384 dibaca
Berita Harian X