Selasa, 11 Oktober 2016 | 12:55pm

Alternatif pemilikan rumah perlu dilaksanakan


Bank Negara Malaysia.

KUALA LUMPUR: Alternatif yang lebih meluas diwujudkan bagi pemilikan rumah, termasuk pasaran sewa yang berfungsi dengan baik, perlu dilaksanakan sebagai keutamaan dasar perumahan negara.

Ia adalah cadangan yang dikemukakan pada Bengkel Tahunan Penyelidikan Ekonomi Bank Negara Malaysia Keempat bertema "Pasaran Perumahan: Isu dan Pilihan Dasar" anjuran Bank Negara.

Cadangan itu menekankan bahawa insentif yang tidak dirancang dengan baik untuk meningkatkan tahap pemilikan rumah akan memberikan kesan negatif terhadap kemampuan memiliki rumah pada tempoh yang lebih panjang.

"Cadangan berkenaan dilihat mampu memberikan cara yang berdaya maju bagi membantu individu berpendapatan rendah dan berada pada awal kerjaya untuk bersedia memiliki rumah kelak.

"Penguatkuasaan yang lebih baik juga penting bagi menghalang penyalahgunaan skim yang bertujuan membantu segmen isi rumah tertentu untuk memiliki atau menyewa rumah," menurut Bank Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bank Negara, perbincangan pada bengkel itu juga mengambil maklum bahawa insentif untuk meningkatkan pemilikan rumah perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya agar keberkesanan mekanisme pasaran yang berperanan bagi membetulkan ketidakseimbangan perumahan tidak terjejas.

Keperluan untuk memastikan had harga yang bersesuaian diterima pakai bagi rumah mampu milik turut dibincangkan dengan mengambil maklum bahawa harga rumah terus berada di luar jangkauan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, secara umum terdapat kesepakatan bahawa pertimbangan dasar bagi perumahan negara perlu menyeimbangkan matlamat untuk menyediakan perumahan kepada semua rakyat Malaysia pada tahap kualiti yang minimum dan pada masa yang sama membendung peningkatan ketidakseimbangan dalam pasaran perumahan.

Pada bengkel itu, beberapa peserta mengingatkan bahawa krisis kewangan global pada 2007 yang berpunca daripada pinjaman gadai janji subprima harus menjadi pengajaran penting terhadap faktor yang boleh meningkatkan risiko dalam pasaran perumahan dengan kesan yang jauh lebih ketara terhadap kestabilan kewangan dan makroekonomi.

"Meskipun isi rumah memerlukan akses kepada pinjaman untuk memiliki rumah, namun mereka tidak perlu menanggung beban hutang sehingga tidak mampu membayar balik pinjaman.

"Oleh itu, langkah dasar bagi memastikan akses kepada pinjaman perlu dilaksanakan dengan mengambil kira perlindungan bagi pembeli rumah daripada masalah kewangan yang menyebabkan rampasan rumah dan kebajikan yang terabai," katanya.

INFO

* Bengkel sehari itu dihadiri wakil institusi kewangan, agensi kerajaan, pemaju hartanah, ahli akademik dan kumpulan pemikir.

* Enam kertas penyelidikan dibentangkan

* Peserta bersetuju pendapatan dan pinjaman adalah penentu utama bagi harga rumah

* Dalam tempoh 2013-2014, harga rumah agregat di Malaysia meningkat melebihi paras yang selaras dengan kestabilan makroekonomi dan asas ekonomi negara

* Ketidakseimbangan perumahan menjadi ciri yang lebih jelas di lokasi dan segmen harga yang dipilih

86 dibaca
Berita Harian X