Isnin, 10 Oktober 2016 | 11:15pm

Samsung henti keluar Galaxy Note 7 selepas insiden kebakaran

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd (Samsung) menggantung pengeluaran telefon pintar yang menjadi kemegahannya, Galaxy Note 7, kata sumber hari ini, selepas laporan kebakaran dalam peranti gantian menambah kepada krisis terburuk gergasi teknologi itu.

Pengedar terkenal di Amerika Syarikat (AS) dan Australia juga menggantung jualan atau pertukaran Note 7, sementara syarikat penerbangan utama melarang penumpang menggunakan telefon itu selepas asap daripada peranti gantian memaksa sebuah pesawat penumpang dikosongkan di AS minggu lalu.

Kebakaran telefon yang menjurus penggantian peranti kerana kecenderungannya meletup akan menjadi malapetaka bagi pembuat telefon pintar terbesar dunia itu, menunjukkan ia gagal membaiki masalah yang sudah menjejaskan jenamanya serta mengancam melambatkan pemulihan perniagaan telefon pintarnya.

"Jika Note 7 dibenarkan untuk terus dijual, ia boleh menjurus kepada tindakan memusnahkan jenama itu sendiri dalam sejarah teknologi moden.

"Samsung perlu mengambil satu penurunan nilai gergasi dan membuang Note 7 ke dalam 'kejuruteraan memalukan' bersebelahan Ford Pinto," kata Eric Schiffer, pakar strategi jenama dan pengerusi Perunding Reputasi Pengurusan.

Dalam satu kenyataan kawal selia, Samsung berkata ia sedang "menyesuaikan" penghantaran Note 7 bagi membolehkan pemeriksaan dan kawalan kualiti lebih kukuh berikutan sesetengah peranti terbakar.

Ia tidak mengulas pemberhentian pengeluaran atau punca kebakaran, sementara sumber yang enggan dikenali, tidak menjelaskan jika masalah khusus sudah dikenal pasti atau bila pengeluaran itu dihentikan.

Seorang pegawai Samsung memaklumkan awal hari ini, ia sedang menyiasat laporan "isu kerosakan haba" dan akan mengambil tindakan segera membaiki sebarang masalah sejajar dengan langkah diluluskan Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna.

Pada 2 September lalu, Samsung mengumumkan pemanggilan secara global 2.5 juta telefon bimbit Note 7 berikutan kegagalan bateri yang menyebabkan sesetengah telefon terbakar. - Reuters

169 dibaca
Berita Harian X