Rabu, 5 Oktober 2016 | 7:56pm

Malaysia ketinggalan dalam pembangunan nuklear


KETUA Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar.

PUTRAJAYA: Kurang keyakinan dan persepsi rendah rakyat negara ini mengenai isu nuklear menjadi cabaran utama kepada Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) bagi menzahirkan hasrat membangunkan loji nuklear menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar, berkata mengikut Laporan Transformasi Ekonomi (ETP) 2010, Malaysia dijangka mempunyai loji nuklear pertama pada 2021, namun ia terpaksa dianjak berikutan tragedi kebocoran di Loji Janakuasa Nuklear Fukushima, Jepun selepas dilanda tsunami pada 2011.

"Selepas kejadian terbabit rakyat di negara ini turut diselubungi kebimbangan, malah banyak isu negatif berkaitan tenaga nuklear dibangkitkan, walhal ada banyak kebaikan jika negara ini mempunyai loji nuklear.

"Banyak negara sudah memiliki loji nuklear sendiri contohnya Bangladesh, Turki, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Iran.

"Malah, Iran kini merancang untuk menambah dua lagi loji nuklear," katanya ketika mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat bersama media sempena 'Sesi Pembukaan Integrated Nuclear Infrastructure Review (INIR) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia', di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Program Pembangunan Kuasa Nuklear MNPC, Jamal Khaer Ibrahim dan Ketua Penyelarasan Kawal Selia Nuklear MNPC, Azlina Mohammad Jais.

Mohd Zamzam berkata, sesi pembukaan 'INIR IAEA Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia' itu akan diadakan di Hotel Marriott di sini, yang dijangka dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan disertai beberapa pakar antarabangsa dalam bidang nuklear.

Beliau menjelaskan, dalam pertemuan selama seminggu bermula Isnin ini, pakar berkenaan akan mengkaji semula apa yang sudah dilakukan negara ini dalam aspek pembangunan kuasa nuklear.

"Kita sudah hampir dengan pembangunan kuasa nuklear ini, namun ada beberapa kekangan yang dihadapi. Antaranya, MNPC tidak mempunyai tapak yang sesuai untuk membina loji nuklear berkenaan.

"Seperti yang sedia maklum, isu penempatan adalah sangat sensitif bagi rakyat di negara ini. Lihat sahaja bagaimana rakyat membantah berhubung isu kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang," katanya.

89 dibaca
Berita Harian X