Selasa, 4 Oktober 2016 | 8:35pm

Lelaki ditahan dipercayai buat kenyataan jelik terhadap TMJ


KETUA Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki di Wakaf Baru, Kelantan pagi tadi yang dipercayai membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook (FB).

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan di Jalan Masjid, Wakaf Baru pada jam kira-kira 11 pagi kerana membuat kenyataan jelik yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara.

Beliau berkata, ia susulan satu laporan diterima oleh Polis Kontinjen Johor pada 29 September lalu, jam 11.27 malam berhubung penyalahgunaan laman media sosial.

Katanya, laporan polis itu berhubung satu kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor berkenaan status anak kepada Tunku Ismail.

"Polis juga merampas sekeping kad sim yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor melalui FB.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan sekiranya disabitkan kesalahan mengikut seksyen ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

258 dibaca
Berita Harian X