Rabu, 28 September 2016 | 7:05am

BN kena pasang strategi hadapi PRU-14


NORULHAIDA Ramli, 29, melihat peta persempadanan kawasan pilihan raya yang dikeluarkan SPR di Kompleks Sukan Bangsar, Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah syorkan kajian semula persempadanan kawasan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri di Semenanjung dan Sabah. Kuasa SPR mengkaji semula persempadanan kawasan pilihan raya kira-kira sekali setiap sepuluh tahun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan secara amnya dan Fasal (2) Perkara 113 dan 117, khususnya.

Menurut peruntukan itu, kajian semula persempadanan perlu dilakukan demi menyeimbangi perkembangan sosial, budaya, pembangunan demografi, kemudahan asas dan komunikasi di sesebuah bahagian pilihan raya (negeri dan Persekutuan) agar setiap pemilih boleh mengundi dengan mudah dalam memelihara sistem demokrasi secara adil. Sehingga kini, SPR melakukan tujuh kali persempadanan bahagian pilihan raya iaitu 1958, 1966, 1974, 1983, 1992, 2003 dan 2014.

Memandangkan jumlah pengundi layak mengundi dijangka mencecah 15 juta daripada 13 juta yang sudah mendaftar, menjadi tanggungjawab SPR mengkaji persempadanan tahun ini yang ambil kira nisbah seimbang antara bilangan pemilih dengan jumlah bahagian pilihan raya Parlimen dan DUN terpelihara.

Kajian persempadanan semula pasti akan menyebabkan perubahan dalam bilangan pemilih secara keseluruhan, perubahan bilangan pemilih mengikut kaum, pertambahan serta pengurangan daerah mengundi. Dalam hal ini, menurut Jadual ke-13, Bahagian II , 4 (b), pemilih dan pihak pentadbiran perbandaran kawasan terbabit berhak mengemukakan bantahan sekiranya tidak puas hati. SPR akan menyiasat sebarang bantahan dan membuat keputusan seadil-adilnya dan diangkat untuk kelulusan Dewan Parlimen dan DUN yang berkenaan.

Dakyah burukkan imej SPR, kerajaan

Pun begitu, pembangkang timbulkan pelbagai tanggapan kononnya persempadanan semula dilakukan dengan agenda memastikan parti pemerintah menang di kawasan yang dikaji semula. Persoalannya, apakah benar ia menidakkan peluang bagi pembangkang? Keputusan pilihan raya lalu, khususnya pilihan raya 2008 dan 2013 menunjukkan pemerintah tidak dapat mempertahan kerusi dimenangi dalam pilihan raya 2004.

Sebaliknya pembangkang menang besar sehingga menafikan majoriti 2/3 bagi BN di Parlimen selepas menguasai lima negeri Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini menunjukkan dakwaan kononnya persempadanan membantu pemerintah menang tidak benar malah hanya dakyah memburuk-burukkan imej SPR dan kerajaan.

Keputusan pilihan raya lalu jelas menunjukkan persempadanan bukanlah faktor yang menjamin pemerintah menang dan mengekalkan kerusi. Sebaliknya, faktor yang mempengaruhi pola pengundian adalah lebih berkaitan isu sosiopolitik bersifat merentasi kaum dan kawasan.

Walaupun kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN di Semenanjung kali ini tidak babit tambahan kerusi, pembangkang dan pemerintah (BN), termasuk hampir semua parti komponen BN bimbang terhadap kajian persempadanan kali ini, malah dijangka akan mengemukakan wakil untuk bantah cadangan persempadanan baharu kepada SPR.

Tingkat jumlah penyokong

Selain mengemukakan representasi kepada SPR, pembangkang didapati melaksanakan aktiviti mendaftar pengundi baharu dalam usaha meningkatkan jumlah penyokong. Menurut SPR baru-baru ini, 17.7 juta warga Malaysia layak mengundi. Namun, 13.5 juta sahaja mendaftar sebagai pemilih dan bakinya hampir 4.2 juta belum lagi mendaftar, termasuk hampir 1.8 juta orang Melayu (43 peratus) 1.2 juta orang Cina (29 peratus), 378,931 orang India (9 peratus), 302,391 warga Bumiputera di Sarawak, 298,910 warga Bumiputera di Sabah (7 peratus) dan 30,736 Orang Asli (0.71 peratus).

Umumnya, kuasa politik atau kemenangan dalam pilihan raya adalah ditentukan oleh faktor angka. Jadi, sekiranya undi Melayu berpecah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti diramalkan penganalisis politik dan sokongan daripada kaum India terhadap BN pula rendah seperti disaksikan dalam pengundian PRU-12 (10 peratus) dan PRU-13 (43 peratus), maka BN sukar menang meyakinkan.

Pengundi bukan Melayu, terutama pengundi India boleh membantu BN untuk menang dalam hampir 60 kawasan Parlimen dan DUN. Dalam hal ini, BN secara amnya dan MIC secara khususnya perlu kaji dengan teliti kawasan yang didapati merosot sokongan pengundi India dan perlu melipatgandakan aktiviti mendaftar pemilih baharu dalam kalangan ahli MIC dan komuniti India. Usaha meningkatkan bilangan pengundi baharu akan bantu MIC bukan sahaja mempertahankan kerusinya dalam PRU-14, malah membantu BN untuk menang bergaya.

Penulis ialah Pensyarah Komunikasi Strategik, Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)

390 dibaca
Berita Harian X