Selasa, 27 September 2016 | 1:22pm

Lelaki hilang ketika memancing ditemui lemas

KUDAT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Perairan Dogoton, Pulau Banggi, di sini, Sabtu lalu, dijumpai mati lemas selepas bot dinaikinya dipercayai karam akibat cuaca buruk, semalam.

Abrasin Marsuli, 79, ditemui terdampar di pantai Iskandar Utara, Pulau Banggi oleh penduduk kampung kira-kira jam 9.30 pagi pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, dalam satu kenyataan hari ini, berkata mangsa dikatakan keluar memancing seorang diri di perairan Dogoton pada pagi 24 September lalu dan dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah.

Katanya, Pusat Operasi Maritim Daerah Kudat menerima maklumat kejadian itu dari Balai Polis Karakit pada Ahad lalu dan beliau kemudian mengarahkan aset dari Pejabat Maritim Kudat (DM16) ke lokasi kejadian.

"Operasi SAR membabitkan sebuah helikopter dan dua bot laju Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat, dua bot Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat, sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia dan beberapa bot penduduk kampung," katanya.

Mohd Zubil berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberikan bantuan dalam kes kecemasan atau bencana serta meminta masyarakat melaporkan kepada APMM jika berhadapan masalah di laut dengan menghubungi MERS 999. - BERNAMA

147 dibaca
Berita Harian X