Khamis, 22 September 2016 | 7:25am

Kemampuan peminjam, harga rumah mesti selari

LANGKAH tegas Bank Negara terus memegang kepada Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab (GPAPB) di dalam isu pembelian rumah di negara ini wajar mendapat sokongan.

Ini berikutan kenyataannya semalam bagi menjawab laporan media mengenai permintaan supaya institusi itu mengkaji semula GPAPB mengenai cadangan memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman rumah daripada 35 kepada 40 tahun.

Seperti yang ditekankan oleh Bank Negara, isu lebih besar yang perlu ditangani dan disedari semua pihak adalah berkaitan kemampuan pemilikan rumah. Hakikatnya, GPAPB diperkenalkan khusus untuk melindungi pembeli rumah supaya tidak meminjam melampaui kemampuan mereka.

Menyentuh mengenai kurangnya kemampuan rakyat membeli rumah, ia adalah disabitkan kepada harga kediaman yang tinggi, berbanding pendapatan. Ini disebabkan harga median rumah telah meningkat pada kadar yang lebih laju berbanding kadar kenaikan pendapatan median.

Statistik menyokong untuk mengekalkan pendekatan GPAPB ketika ini memandangkan 75 peratus peminjam adalah pembeli rumah pertama. Jadi, seperti yang disebut oleh Bank Negara, akses kepada pembiayaan tidak menjadi soal kerana persoalannya adalah kemampuan peminjam selain harga kediaman.

Menurut Institut Kajian Khazanah (KRI), situasi pasaran rumah boleh ditakrifkan sebagai 'di luar kemampuan,' di mana harga median rumah adalah 4.4 kali pendapatan tahunan isi rumah. Sekiranya had maksimum tempoh pembiayaan perumahan dinaikkan daripada 35 tahun kepada 40 tahun, sektor perbankan akan terdedah kepada risiko kejatuhan pasaran hartanah seperti yang berlaku di Amerika Syarikat ketika krisis sub prime pada 2007-2008.

Ini berdasarkan pertumbuhan pembiayaan perumahan melebihi 10 peratus setiap tahun walaupun setelah had maksimum 35 tahun diperkenalkan. Kenaikan had maksimum tempoh pembiayaan perumahan juga dijangka akan memburukkan situasi hutang isi rumah yang ketika ini mungkin sudah mencecah 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Tingkat daya tahan negara

Sehubungan itu, negara perlu meningkatkan daya tahan atau resilience ketika harga komoditi berada pada paras tertekan, demi menghadapi kemungkinan ekonomi dunia mengalami kemelesetan. Sememangnya, pemilikan rumah adalah antara idaman kebanyakan negara berdemokrasi di dunia ini. Malah, perumahan yang mencukupi telah diiktiraf sebagai suatu hak asasi, seperti termaktub di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, realitinya adalah sukar untuk memastikan pemilikan rumah pada setiap lapisan masyarakat. Juga menjadi realiti bahawa bukan semua individu mempunyai disiplin kewangan untuk membuat komitmen pembelian aset bernilai tinggi seperti sebuah rumah. Ia umpama disiplin diri untuk mengekalkan kesihatan fizikal pada tahap yang baik.

Kerajaan bertanggungjawab untuk menangani kekangan yang wujud di pasaran rumah seperti kekurangan penawaran dan harga yang melampau. Bagaimanapun, masyarakat secara keseluruhannya perlu buat keputusan sama ada pemilikan rumah adalah tanggungjawab individu atau kolektif.

91 dibaca
Berita Harian X