Selasa, 20 September 2016 | 12:07am
MOHAMMAD Raimi mengubahsuai koleksi permainnya mengikut cita rasa sendiri. - Foto Amir Irsyad Omar
MOHAMMAD Raimi membuka studio bagi merancakkan perniagaan diceburinya. - Foto Amir Irsyad Omar
MOHAMMAD Raimi hanya mampu menyiapkan antara satu hingga tiga set kereta mainan dalam sehari. - Foto Amir Irsyad Omar
ANTARA permainan yang diubahsuai Mohammad Raimi. - Foto Amir Irsyad Omar
ANTARA permainan yang diubahsuai Mohammad Raimi. - Foto Amir Irsyad Omar

Sentuhan Raimi Kustomz sampai Los Angeles


BUKIT MERTAJAM: Kegilaan mengumpul kereta mainan jenama 'Hot Wheels' memberi ilham kepada seorang pemuda dari Taman Pauh di sini, mengubahsuai koleksi itu supaya lebih unik dan menarik hingga mampu dijual semula menjana pendapatan.

Hasil kerja tangan Mohammad Raimi Mohd Rosli, 28, yang unik itu, bukan setakat menjadi pilihan pengumpul koleksi tempatan, malah menerima tempahan daripada peminat mainan terbabit dari Los Angeles, Amerika Syarikat.

Raimi yang mempromosikan hasil kerjanya di bawah nama Raimi Kustomz, berkata segala-galanya bermula dengan hobi beliau mengumpul model kereta terbabit sejak 2011, sebelum berjinak-jinak dengan kerja pengubahsuaian berkenaan.

"Kebiasaannya seseorang yang mempunyai hobi ini, gemar mengumpul model baharu serta menyimpan koleksi yang berbeza daripada orang lain. Kebanyakannya tidak berkira mengenai harga yang perlu dibayar untuk memiliki koleksi seumpama itu.

"Ini berdasarkan pengalaman sendiri. Hasrat memiliki model yang unik dan berbeza daripada lain susulan kegilaan mengumpul kereta mainan Hot Wheels ini mendorong saya mengubah suai koleksi sedia ada.


MOHAMMAD Raimi menunjukkan koleksi kereta mainan miliknya. - Foto Amir Irsyad Omar

"Mengubahsuai model asal kepada reka bentuk baharu mengikut cita rasa sendiri, memberi kepuasan kepada saya kerana hasilnya lebih unik serta berbeza dengan model standard dalam pasaran," katanya kepada BH di sini.

Walaupun mengambil masa yang lama untuk mengubahsuai sesebuah model kereta mainan kepada reka bentuk yang lebih eksklusif tetapi itu tidak menjadi menghalang berkarya hingga mampu membuka studio bagi merancakkan perniagaan diceburinya.

"Saya akui bukan mudah menjadi seorang pengubahsuai dan pembuat tempahan khas kerana perlu memikirkan idea kreatif dalam usaha menghasilkan reka bentuk karya yang menarik perhatian semua pihak khususnya pengumpul koleksi.

"Ada kalanya usaha mencari idea juga sukar sehingga saya kerap termenung dan bergantung kepada emosi pada hari berkarya. Ketika mood dengan idea yang banyak, maka cepatlah usaha saya menyiapkan produk," katanya.

Mohammad Raimi berkata, proses mengetuk, menebuk dan melunturkan warna asal model kenderaan itu semuanya dilakukan sendiri.


MOHAMMAD Raimi mengubahsuai koleksi permainannya supaya tampak lebih unik dan menarik hingga mampu dijual semula serta menjana pendapatan kepadanya. - Foto Amir Irsyad Omar

"Kerja memproses, mengubahsuai dan menghias kereta mainan ini mengambil masa agak lama dan dalam sehari, saya hanya mampu menyiapkan antara satu hingga tiga set sahaja.

"Bagaimanapun, sekiranya mahu menyertai program pameran dan jualan tertentu, saya berusaha menghasilkan lebih banyak set kenderaan memandangkan permintaannya yang tinggi," katanya.

Meskipun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa kursus asas bidang yang diceburinya, Mohammad Raimi gigih menimba ilmu secara menyusuri sesawang di internet serta mendapatkan tunjuk ajar rakan komuniti dalam laman sosial Facebook yang terjebak bidang sama.

"Sokongan ibu bapa dan isteri, mendorong saya hingga berjaya menghasilkan karya mencorak kereta jenama Hot Wheels yang menjadi bualan ramai," katanya yang juga bapa kepada seorang cahaya mata berusia tujuh bulan itu.

Beliau berkata, hasil kreativitinya itu dijual pada harga antara RM200 sehingga RM1,500 seunit, bergantung model kenderaan yang digunakan kerana ada di antaranya amat sukar diperoleh dan kebanyakannya dibeli secara dalam talian dari pembekal di Amerika Syarikat dan Jepun.

242 dibaca
Berita Harian X