Sabtu, 17 September 2016 | 2:27pm

Kejayaan atlet paralimpik membanggakan - MSN


Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

ALOR SETAR: Kejayaan atlet paralimpik negara meraih pingat di temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, adalah kemegahan besar buat negara walaupun terselit 1,001 kisah suka dan duka.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata di sebalik kejayaan luar biasa itu, mereka pernah melalui saat sukar apabila kehilangan rakan seperjuangan yang ketika itu berada di puncak prestasi seperti pelari pecut paralimpik negara, Azlan Mat Lazim.

"Allahyarham Azlan berada pada tahap kemuncaknya dengan meraih tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dan menjadi antara prospek ke Rio tahun ini, namun beliau terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 2015.

"Sebelum itu juga, dunia paralimpik negara pernah dikejutkan dengan kehilangan pemanah negara pada 2011, Mohd Salam Sidik yang berada di puncak prestasi, serta kemalangan jalan raya yang menimpa Ketua Jurulatih Olahraga Para, R Jaganathan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada BERNAMA selepas menghadiri Junior Cycling Malaysia yang dirasmikan Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah di hadapan Menara Alor Setar pagi tadi.

Bagaimanapun, Ahmad Shapawi berkata semua rintangan itu membangkitkan semangat kepada atlet paralimpik negara sehingga mereka mencapai kejayaan luar jangkaan, termasuk pencapaian Siti Nor Iasah Mohammad Ariffin yang mendapat tempat keempat dalam acara 400m T20 (masalah pembelajaran).

Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan Paralimpik Rio melalui pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy), diikuti kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli yang mencipta rekod dunia acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak balingan 16.84m.

Aksi cemerlang kontinjen negara diteruskan Abdul Latif Romly yang memenangi emas selepas memecahkan rekod dunia acara lompat jauh T20 dengan jarak lompatan 7.60m, dan disusuli pingat gangsa Siti Noor Radiah Ismail bagi acara lompat jauh wanita T20.

Ahmad Shapawi berkata, kejayaan diperoleh negara itu juga turut bertitik tolak daripada program elit paralimpik yang dianjur Kementerian Belia dan Sukan melalui MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sejak 2006 lagi.

"Ini adalah kejayaan yang dicapai selepas mengharungi tempoh latihan jangka panjang. Kejayaan mereka di Rio lebih membanggakan apabila atlet berjaya memecahkan rekod kejohanan dan mencipta rekod dunia dalam acara masing-masing.

"Sukan olahraga memang cemerlang manakala beberapa sukan lain tidak mengecewakan seperti berbasikal dan pelayaran. Namun program latihan sukan memanah dan angkat berat akan dikaji dan ditambah baik pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

99 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »