Isnin, 12 September 2016 | 6:48am

Cabaran membeli rumah: Terus menanti atau beli?


FOTO hiasan.

ADAKAH golongan belum memiliki rumah akan terus menanti dengan harapan harga rumah akan turun atau membeli mengikut kemampuan kewangan yang ada? Apakah penyebab menjadikan pembelian rumah ini satu 'ketakutan'?

Faktor pertama, harga rumah terlalu tinggi tak selari dengan gaji. Kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menyatakan harga rumah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia.

Harga rumah amnya

meningkat saban tahun

Kenaikannya lebih cepat berbanding kenaikan gaji setiap tahun. Umumnya, nilai hartanah meningkat setiap tahun. Peningkatan di pasaran sekunder adalah antara lima hingga 15 peratus setahun atau lebih tinggi bergantung kepada lokasi, jenis rumah dan keadaan ekonomi semasa. Faktor umum mempengaruhi peningkatan ialah faktor penawaran dan permintaan, kadar inflasi, penambahbaikan kemudahan infrastruktur lebih sempurna dan matang, pembaikan dan renovasi kediaman serta peningkatan kos binaan dan pengurusan rumah.

Nilai rumah juga dipengaruhi aktiviti persekitaran seperti pembangunan. Setiap cadangan pembangunan boleh beri kesan terhadap nilai pasaran hartanah sekitar. Jika harga rumah dibanding purata gaji rakyat Malaysia sekarang pasti rumah tidak mampu milik. Pada 2014, purata minimum gaji rakyat Malaysia ialah RM6,833 bagi penduduk bandar dan RM3,831 bagi penduduk luar bandar sedangkan harga rumah melebihi kemampuan gaji rakyat terutama sekali Bumiputera yang mewakili 68.6 peratus di negara ini.

Persaingan dalam pembelian

Antara 2011 hingga 2014, pembeli mudah beli rumah atas faktor kemudahan pinjaman serta tawaran bayaran wang pendahuluan rendah oleh pemaju untuk projek perumahan baharu. Namun, masih ramai pembeli rumah pertama gagal ambil kesempatan itu berikutan kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan pemilikan kediaman. Pembeli rumah pertama juga terpaksa bersaing dengan pembeli rumah berulang, pelabur dan spekulator bagi projek perumahan di pasaran terbuka, menyebabkan ramai terlepas peluang.

Rakyat terlalu banyak hutang dan pengurusan kewangan masih lemah

Laporan Kajian Khazanah menunjukkan rakyat Malaysia tanggung hutang tertinggi beli rumah, diikuti sewa beli dengan peratusan pinjaman perumahan 11 peratus pada 2015.

Temu bual secara rawak penulis bersama lima pegawai bank komersial yang urus permohonan pinjaman perumahan di Kuala Lumpur pada Mei 2015 mendapati sebab utama permohonan pinjaman ditolak seperti berikut:

Kadar komitmen hutang sedia ada terlalu tinggi; pemohon mempunyai tunggakan pembayaran ansuran pinjaman sedia ada seperti pinjaman kereta atau peribadi; yang bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan gagal tunjuk rekod aliran keluar masuk bank simpanan peribadi atau syarikat; membeli di lokasi berisiko seperti kawasan runtuh, kadar jenayah tinggi atau kawasan banjir juga beri kesan kepada kegagalan pinjaman perumahan selain jenis pekerjaan, jumlah gaji, umur dan faktor kesihatan atau faktor lain seperti penjual muflis, belum disahkan jawatan, dokumen palsu dan juga pendapatan tidak stabil.

Tidak faham risiko pembelian

Antara risiko utama pembelian rumah ini ialah kegagalan buat bayaran ansuran bulanan. Oleh sebab majoriti pembeli rumah akan buat pinjaman bank bagi membiaya pembelian maka pembeli hendaklah mematuhi syarat pinjaman dipersetujui bersama iaitu membayar ansuran bulanan tepat pada masanya.

Kegagalan bayar ansuran bulanan ini boleh menyebabkan anda kehilangan kediaman itu apabila bank ambil tindakan mahkamah untuk melelong. Antara sebab seseorang itu gagal menjelaskan ansuran bulanan ialah kehilangan pekerjaan akibat dibuang kerja, jatuh sakit atau syarikat ditutup.

Kurang pengetahuan tentang proses pembelian hartanah

Bagi kebanyakan orang juga, membeli rumah mungkin sekali seumur hidup dan tidak berbaloi pening kepala hanya untuk fahami selok-belok prosedur pembelian. Sebab itu, mereka hanya peduli apabila masanya tiba.

Ketidakfahaman proses pembelian ini menyebabkan ramai pembeli ditipu atau tertipu. Dilaporkan 20,000 broker haram berleluasa di pasaran mencalar reputasi dan mengganggu periuk nasi lebih kurang 2,000 ejen hartanah berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir Dan Ejen Hartanah Malaysia. Boleh dikatakan kes penipuan berlaku sebab pembeli rumah tidak faham proses pembelian yang dianggap rumit dan panjang selain kurang pengetahuan mengenai pemilikan hartanah.

Cabaran beli rumah pertama

Kesimpulannya, kajian pelajar tahun akhir Jabatan Pengurusan Hartanah, UiTM Shah Alam; Afifah Saad awal 2016 terhadap 70 responden di Seksyen 7, Shah Alam mengenai cabaran beli rumah pertama mendapati cabaran utama ialah sukar dapat harga sesuai dengan gaji (M>4.31), diikuti kadar faedah tinggi (M>4.06) dan kos sara hidup tinggi (M>3.96). Faktor lain seperti proses pembelian rumit, isu rumah mampu milik, kekangan kewangan, harga rumah tinggi dan gaji kecil menjadikan cabaran tersebut sangat rumit.

Responden terdiri daripada 76 peratus Melayu, 12 peratus Cina dan 11 peratus India mendapati 42.9 peratus responden beli rumah pangsapuri kos sederhana sebagai rumah pertama manakala 35 peratus beli rumah teres dan 18.6 peratus responden beli rumah flat kos rendah. Kajian ini juga menunjukkan kemampuan membeli, membayar dan kemampuan gaji adalah cabaran utama membeli rumah pertama.

Usaha kerajaan tangani isu rumah mampu milik ini diberi perhatian pada Bajet 2016 seperti melalui pembinaan rumah PR1MA sebanyak 175,000 rumah akan dibina, Rumah Mesra Rakyat SPNB, Perumahan Penjawat Awam (PPA1M) dengan harga RM90,000 hingga RM300,000 sebanyak 100,000, Perumahan PPR dan peruntukan RM200 juta bagi membantu pembeli rumah pertama membayar deposit rumah bagi menangani masalah rumah mampu milik ini. Namun, harga rumah di pasaran terbuka sukar dikawal. Suka atau tidak, seseorang itu harus berusaha memiliki rumah impian. Harga rumah makin lama ditunggu makin tak mampu.

1846 dibaca
Berita Harian X