Sabtu, 10 September 2016 | 4:37pm

Jangan terlalu risau dengan PPBM - Salleh

Oleh Mohamed Farid Noh

farid_noh@bh.com.my

BATU PAHAT: Ahli UMNO tidak perlu terlalu gentar berdepan mana-mana parti, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata ahli UMNO perlu menumpukan usaha untuk memperkukuhkan jentera parti dan memenuhi kehendak rakyat.

Katanya, usaha pengukuhan parti dan memahami denyut nadi rakyat adalah jauh lebih penting berbanding memikirkan masalah parti lain.

"Kita tidak perlu terlalu pening memikirkan cabaran PPBM ini.

"Berbeza dengan UMNO, pembangkang termasuk PPBM tidak memperjuangkan dasar yang jelas dan hanya memperjuangkan kepentingan individu untuk merebut kuasa, selain tiada semangat permuafakatan seperti kita.

"Yakinlah dengan UMNO, parti kita. Yakinlah UMNO tidak ada masalah besar selain kita hanya perlu perkukuh parti dan jangan berpecah.

"Saya yakin mereka yang tinggalkan UMNO pasti menyesal apabila berdepan kekecewaan," katanya.

Beliau yang juga Bendahari UMNO berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Ketua Wanita UMNO Sri Gading, Puan Sri Azizah Zakaria.

22 dibaca
Berita Harian X