Jumaat, 9 September 2016 | 9:44pm

PPBM tidak akan mampu bertahan lama


KETUA UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. - Foto Syarafiq Abd Samad

BATU PAHAT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mampu menjejaskan kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berikutan tiada tokoh pemimpin berkredibiliti berminat menyertai parti berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata matlamat penubuhan parti berkenaan yang tidak jelas serta mengelirukan juga menjadikan parti baharu berkenaan bakal mengikut jejak nasib parti serpihan yang kebanyakannya sudah berkubur.

Katanya, tidak seperti parti Semangat 46 dan PKR yang sebelum ini yang berjaya menarik minat beberapa tokoh pemimpin menyertai mereka, PPBM dilihat gagal menarik minat tokoh berkaliber.

"Kelulusan PPBM oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), semalam membuktikan kerajaan bukan sahaja telus malah menjunjung amalan demokrasi sebenar.

"Bagaimanapun, saya melihat penubuhan PPBM ini tiada fokus selain memperjuangkan kepentingan individu tertentu sahaja yang matlamat utamanya mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Apatah lagi tiada pemimpin mahupun tokoh politik terkemuka yang berminat menyertai mereka sudah pun menunjukkan kelemahan parti berkenaan dalam menarik minat masyarakat.

"Jika parti berkenaan mahu mencuri ahli UMNO juga rasanya tidak akan berjaya berikutan kesetiaan ahli parti yang mengutamakan prinsip perjuangan sebenar bagi membela nasib anak bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bantuan dana pelajaran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) kepada dua pelajar kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al Azhar, Mesir, di Masjid Bentara Luar Batu Pahat, di sini, hari ini.

150 dibaca
Berita Harian X