Khamis, 8 September 2016 | 9:27am

27 terbunuh nahas bas, kereta api di Mesir


PENDUDUK setempat memeriksa bangkai kereta api selepas ia tergelincir berhampiran perkampungan Al-Ayyat di Giza di pinggir selatan ibu negara Kaherah. - Foto AFP

KAHERAH: Dua puluh tujuh maut dalam dua kemalangan berasingan di selatan ibu negara Mesir pada Rabu ketika musim percutian sibuk.

Sekurang-kurangnya 22 terbunuh apabila bas yang dinaiki bertembung dengan sebuah trak di wilayah Wedi El-Gedid, kata Kementerian Kesihatan Mesir. Bilangan penumpang bas tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, lima terbunuh apabila kereta api tergelincir.

Kemalangan jalan raya menjadi perkara biasa di Mesir, yang menyaksikan banyak jalan di negara itu tidak diselenggara dengan baik dan peraturan tidak dikuat kuasakan,

Kereta api yang membawa 60 penumpang, tergelincir selepas meninggalkan Kaherah menuju ke Aswan di selatan, kata polis dan pasukan perubatan.

Konduktor menekan brek selepas mengesan masalah dengan landasan, menyebabkan tiga gerabak terbalik berhampiran kampung Al-Ayyat.

Dua puluh penumpang lagi juga cedera, daripada sekadar melecet sehingga patah tulang.

Jalan raya dan perkhidmatan kereta api di Mesir lebih sibuk sebelum cuti umum seperti perayaan Aidiladha minggu depan, dengan penduduk yang bekerja di Kaherah dan bandar raya lain mula pulang ke kampung masing-masing. - AGENSI

33 dibaca
Berita Harian X