Rabu, 7 September 2016 | 12:20pm

3 angkasawan dijangka pulang ke Bumi


ANAK kapal Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari kiri ke kanan; Jeff Williams dari Amerika Syarikat, Alexey Ovchinin dan Oleg Skripochka dari Russia, dilihat di dalam kapsul kapal angkasa Soyuz TMA-20M selepas mendarat berhampiran bandar Zhezkazgan (Dzhezkazgan), Kazakhstan. - Foto NASA

CAPE CANAVERAL: Seorang angkasawan Amerika Syarikat dan dua dari Russia bersiap sedia dalam kapsul Soyuz untuk berlepas pulang ke Bumi dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), menyasarkan pendaratan dengan payung terjun di Kazakhstan.

Komander stesen itu, Jeff William, dengan agensi angkasa lepas Amerika dan jurutera penerbangan, Alexey Ovchinin dan Oleg Skripochka, kedua-duanya dengan agensi Roscosmos, berlepas dari stesen berkenaan pada jam 5.51 pagi waktu tempatan ketika kapal belayar 415 kilometer ke timur Mongolia, kata pengulas misi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Rob Navis.

"Saya pasti merindui pemandangan ini! Penghargaan tidak terhingga kepada rakan kru, pasukan di bumi, rakan dan keluarga," tulis William dalam Twitter terdahulu pada Selasa, menyiarkan gambar cahaya matahari menyinari planet.

Kapsul itu dijangka melakukan pendaratan menggunakan payung terjun berhampiran bandar raya Zhezkazgan kira-kira jam 7.14 pagi waktu tempatan pada Rabu.

Williams, 58, kembali ke Bumi dengan keseluruhan kerjaya berada 543 hari di orbit, lebih panjang berbanding angkasawan lain dalam sejarah Amerika dan ke-14 di dunia.

Angkasawan Russia masih di tangga teratas bagi tempoh paling lama berada dalam kapal angkasa, dengan Gennady Padalka memegang rekod dengan 878 hari di angkasa lepas dalam lebih lima misi.

Sebelum meninggalkan ISS, William menyerahkan tugas pemerintah di stesen kepada angkasawan Russia, Anatoly Ivanishin, yang kekal di stesen itu dengan angkasawan NAA, Kate Rubins dan angkasawan Jepun, Takuya Onishi.

Kru pengganti dijangka dihantar ke ISS pada 23 September ini dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan. - REUTERS

225 dibaca
Berita Harian X