Sabtu, 22 November 2014 | 4:58pm

Komunikasi konvensional, media baharu perlu seiring - Mas Ermieyati


DATUK Mas Ermieyati Samsuddin (tengah) beramah mesra dengan beberapa perwakilan pelajar dalam dan luar negara selepas Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kaedah komunikasi secara konvensional masih relevan dipraktikkan meskipun dunia kini lebih tertumpu kepada media baharu, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Katanya, kaedah komunikasi bersemuka lebih berkesan khususnya untuk menjelaskan sesuatu perkara selain mengubah persepsi terhadap sesuatu isu dalam kalangan masyarakat.

Mengakui penggunaan media baharu, khususnya laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan blog membantu menyebar maklumat dan mempromosi program atau aktiviti dengan lebih pantas, beliau berkata komunikasi bersemuka tidak kurang pentingnya.

"Bagi menambahkan keberkesanan, masih perlu amalan budaya turun padang kerana selain lebih mesra dan dekat dengan masyarakat, kita dapat mengetahui pandangan serta permasalahan rakyat secara terus," katanya pada sesi "Hyperconnectivity: Realiti Baru Untuk Pemimpin Masa Depan" pada Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (Pemanas 2014) di sini hari ini.

Katanya, kaedah turun padang lebih bersifat santai memandangkan golongan muda lebih tertarik kepada aktiviti tanpa protokol malah menjadikan komunikasi dua hala lebih berkesan.

"Generasi muda kurang suka kepada aktiviti berprotokol. Jadi saya (Puteri) guna pendekatan seumpama itu selain menggunakan media baharu untuk berkongsi dan sebar maklumat sahih sahaja," katanya.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, semua pihak khususnya pemimpin Barisan Nasional (BN) mesti bertindak pantas memberi penjelasan mengenai sesuatu isu sebelum masyarakat dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Senada dengan Mas Ermieyati, blogger Datuk Ahirudin Atan turut bersetuju bahawa penjelasan segera adalah langkah terbaik bagi menyekat penyebaran maklumat tidak tepat.

"Kita perlu guna setiap ruang dan peluang yang ada bagi memberi respons terhadap sebarang maklumat tidak tepat. Jangan lambat bagi respons kerana masyarakat kini lebih cenderung untuk menerima maklumat melalui media baharu," katanya yang juga seorang daripada lima panel pada sesi itu.

Sementara itu, Presiden Aktivis Belia Tanahair, Azrinizam Ibrahim, mengingatkan agar masyarakat tidak terlalu cepat membuat kesimpulan berkaitan sesuatu isu yang diperoleh di media sosial tanpa mengkaji sumber maklumat terlebih dahulu.

Katanya, penulis di media sosial juga perlu berhati-hati dan tahu etika kewartawanan sebelum menulis sesuatu maklumat bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

- BERNAMA

63 dibaca
Berita Harian X