Ahad, 4 September 2016 | 12:28am

Munafik dinobat Filem Terbaik Nasional, FFM28


SYAMSUL Yusof pemenang Penyunting Tebaik FFM28 bagi filem Munafik di malam Filem Festival ke-28 (FFM28). - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Filem terbitan Skop Productions, Munafik meranapkan harapan besar Ola Bola apabila mendominasi kemenangan pada kemuncak Fesrival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) dengan merangkul lima trofi, termasuk Filem Terbaik Nasional.

Pada acara yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam tadi, Munafik cemerlang menerusi kejayaan peribadi Syamsul Yusof apabila dijulang sebagai Pengarah Terbaik dan Penyunting Terbaik. Bintang utamanya, Nabila Huda pula dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik selain membawa pulang trofi Penataan Bunyi Terbaik.

Sementara itu, filem arahan, Shanhjey Kumar Perumal iaitu Jagat diangkat sebagai Filem Terbaik Malaysia. Shanjhey turut memenangi trofi Pengarah Baharu Terbaik.

Polis Evo yang meraih sembilan pencalonan pula melangkah bergaya dengan empat kemenangan menerusi kejayaan Hushairi Hussain yang diumumkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Haris Hue Abdullah (Sinematografi Terbaik).Polis Evo juga diangkat sebagai Filem Box Office selain memenangi Anugerah Khas Juri - Filem Yang Berupaya Mengangkat Nilai Produksi dan Komersial Yang Tinggi.

Sementara itu, filem Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit menutup mulut pihak yang mempersoalkan kredibilitinya apabila merangkul tiga trofi iaitu Cerita Asal Terbaik, selain pengarahnya, Pekin Ibrahim diiktiraf Pelakon Lelaki Terbaik. Mat Moto turut cemerlang menerusi kemenangan Falisha Crossley untuk kategori Pelakon Baharu Wanita Terbaik.

Kategori Pelakon Baharu Lelaki Terbaik pula menjadi milik Adam Shahz menerusi lakonannya dalam Juvana 2 - Terperangkap Dalam Kebebasan. Turut menyerlah pada FFM28 adalah Fauziah Datuk Ahmad Daud yang memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Bintang cilik The Kid From The Big Apple, Tan Qin Lin pula diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik selain produksi itu diangkat sebagai penerima Anugerah Khas - Filem Yang Berjaya Menstransformasikan Nilai Produksi dan Komersial Yang Tinggi.

FFM28 turut memberi penghormatan kepada Deddy M Borhan sebagai penerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman. Terdahulu, filem Ola Bola mengungguli majlis perasmian FFM28 apabila membawa pulang tiga trofi iaitu Pereka Kostum/Kostum Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik.

Filem itu juga memenangi Anugerah Khas Juri sebagai Filem Yang Berjaya Mengangkat Nilai Perpaduan dan Kekeluargaan Menerusi Semangat Kesukanan.

SENARAI PEMENANG FFM 28

---------------------

Filem Terbaik Nasional: Munafik

Filem Terbaik Malaysia: Jagat

Pengarah Terbaik: Syamsul Yusof (Munafik)

Pelakon Lelaki Terbaik: Pekin Ibrahim (Mat Moto - Kami Bukan Mat Rempit)

Pelakon Wanita Terbaik: Nabila Huda (Munafik)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Hushairi Hussain (Polis Evo)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Fauziah Datuk Ahmad Daud (Langit Cinta) Pengarah Baharu Terbaik: Shanjhey Kumar Perumal (Jagat)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Tan Qin Lin (The Kid From The Big Apple)

Pelakon Baharu Wanita Terbaik: Falisha Crossley (Mat Moto - Kami Bukan Mat Rempit)

Pelakon Baharu Lelaki Terbaik: Adam Shahz (Juvana 2 - Terperangkap Dalam Kebebasan)

Lakon Layar Terbaik: Bea Tanaka (Nota)

Sinematografi Terbaik: Haris Hue Abdullah (Polis Evo)

Cerita Asal Terbaik: Pekin Ibrahim (Mat Moto - Kami Bukan Mat Rempit)

Penyunting Terbaik: Syamsul Yusof (Munafik)

Anugerah Khas Juri: Ola Bola Anugerah Khas Juri: Polis Evo Anugerah Khas Juri: The Kid From The Big Apple

Filem Cereka Animasi Terbaik: Boboiboy The Movie (Animonsta Studios Sdn Bhd)

Karyawan Sepanjang Zaman: Deddy M Borhan.

145 dibaca
Berita Harian X