Khamis, 1 September 2016 | 11:27pm

Ola Bola menang tiga trofi kategori teknikal FFM28


DARI kiri, Rendra Zawawi, Elaine Ng dan Onn San bersama piala kemenangan pemenang dari Filem Ola Bola pada Malam Perasmian Festival Filem Malaysia (FFM) ke 28 di FINAS. NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ

HULU KELANG: Filem Ola Bola meraih tiga trofi kategori teknikal pada malam pelancaran Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di sini, malam ini.

Filem arahan Chiu Keng Guan yang mencatat kutipan RM15.85 juta itu membawa pulang trofi Pereka Kostum/Busana Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Asal Tema Terbaik menerusi gandingan Zee Awi bersama Rendra Zawawi.

Kemenangan itu memberi petanda filem berkisar dunia bola sepak tempatan itu berpotensi besar mengetepikan calon lain pada malam kemuncak FFM28, lusa.

Setakat ini, filem terbitan Astro Shaw itu menguasai jumlah pencalonan tertinggi FFM28 dengan 14 kategori termasuk kategori utama iaitu Filem Terbaik Malaysia bersaing dengan sembilan karya lain.

Sementara itu, Shamsul Yusof tidak pulang dengan tangan kosong apabila filem arahan dan lakonannya, Munafik memenangi kategori Penataan Bunyi Terbaik.

Turut diumumkan, filem animasi terbitan Wau Animation iaitu Ejen Ali yang memenangi kategori Filem Animasi Pendek Terbaik.

Majlis pelancaran FFM28 disempurnakan Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib. Yang turut hadir, Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman.

Majlis yang mempertandingkan 10 trofi kategori teknikal itu dikendalikan pengacara Sharifah Shahora dan Wan Syarul.

Majlis turut diserikan Nasha Aziz, Emma Maembong, Micheal Ang, Sanjay Kumar, Sabrina Ali, Adeline Tsen dan Rizal Halim yang menjadi penyampai trofi.

Kira-kira 300 jemputan dihiburkan dengan persembahan Datuk Hattan, Hazama, Adira, Elyana dan kumpulan Votez.

Kemuncak acara pengiktirafan karyawan filem yang mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu bakal diadakan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), pada jam 9 malam, lusa.

FFM28 turut disiarkan secara langsung oleh Astro Ria.

Pemenang Kategori Teknikal FFM28

Pereka Kostum/Busana Terbaik:

Ola Bola (Elaine Ng dan Weng Shum)

Kesan Visual Khas Terbaik

Cicakman 3

(Yusry Abdul Halim)

Penataan Seni Terbaik

Huat The Fish

(Wong Jee Meng & Nick Wong)

Penataan Bunyi Terbaik

Munafik

(Imaginex Studios Sdn Bhd)

Skor Muzik Asal Terbaik

Ola Bola

(Onn San dan Alex San)

Lagu Tema Asal Terbaik

Ola Bola: Arena Cahaya

(Zee Avi & Rendra Zawawi)

Filem Animasi Pendek Terbaik

Ejen Ali

(Wau Animation)

Filem Pendek Terbaik

RM10

(Entrophy Studios Sdn Bhd)

Filem Dokumentari Terbaik

Boat People

(Dos Fellas Sdn Bhd)

Anugerah Penggiat Belakang Tabir

Mohd Noor Tagaya

61 dibaca
Berita Harian X