Isnin, 22 Ogos 2016 | 6:50am

Sukan sebagai wadah penyatuan rakyat Malaysia


ORANG ramai bersorak keriangan di Dataran Putrajaya ketika menyaksikan perlawanan akhir perseorangan lelaki badminton di Sukan Olimpik Rio membabitkan pemain negara, Datuk Lee Chong Wei menentang pemain negara China, Chen Long. - Foto Fariz Iswadi Ismail

DI sebalik hiruk-pikuk landskap politik negara, percakaran antara gagasan politik, kehangatan penubuhan parti politik baharu, hujah pengharaman Pokemon GO dan debat antara agama, keremehan semua isu ini, kini tidak dihiraukan dek pencapaian cemerlang atlet negara pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Pencapaian cemerlang atlet terjun, berbasikal dan badminton negara amat membanggakan lantas mendorong seluruh rakyat bersatu demi Malaysia tercinta.

Temasya Rio 2016 bakal melakar sejarah sebagai medan pencapaian terbaik dalam arena Sukan Olimpik Malaysia. Belum pernah lagi kutipan pingat sebanyak ini dicatat dalam mana-mana sukan Olimpik yang pernah disertai oleh Malaysia.

Pastinya jutaan tahniah harus kita tujukan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia, atlet dan jurulatih yang berkorban segala-galanya demi pencapaian cemerlang ini.

Tidak juga dilupakan kepada semua rakyat Malaysia yang sanggup bersengkang mata selain memanjatkan doa serta sokongan demi pencapaian paling cemerlang ini.

Saya berpendapat bahawa pencapaian cemerlang Malaysia pada Sukan Olimpik Rio melangkaui kegemilangan sukan, malah berjaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang kebelakangan ini dilanda dengan pelbagai isu yang tidak menentu.

Bersatu rai kemenangan

Secara tiba-tiba hiruk-pikuk landskap politik Malaysia seakan terhenti dek pencapaian cemerlang ini. Kelompok masyarakat yang berbeza pendapat secara automatik bersuci hati bersatu meraikan pelbagai kemenangan atlet negara.

Rakyat dan agamawan yang berbeza anutan kini bersatu dalam mendoakan pencapaian terbaik Malaysia pada Sukan Olimpik. Manakala debat kehebatan perbezaan antara kaum dan wilayah tersenyap seketika.

Semuanya terpukau dek kehebatan penerjun negara, Pandelela Rinong; pemain badminton, Tan Wee Kiong; pelumba basikal, Azizulhasni Awang dan ramai lagi, satu cerminan sebenar masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Inilah bukti kehebatan sukan yang ada kalanya dianggap sebagai satu daripada punca pembaziran wang negara. Terbukti pelaburan jutaan ringgit membawa pulangan yang manis buat seluruh negara.

Malah, lebih manis lagi apabila kejayaan gemilang ini dapat menghentikan pelbagai isu yang melanda rakyat Malaysia ketika ini. Hebatnya sukan apabila pelbagai isu tohmahan rasuah, debat antara kaum dan percanggahan agamawan kini diketepikan.

Selain itu juga, seluruh rakyat Malaysia yang berbilang agama bersatu mendoakan agar sinar emas Malaysia dalam Sukan Olimpik terjelma segera.

Rakyat doa yang terbaik

Di sebalik sensitiviti agama dan debat antara mufti, saya percaya bahawa seluruh rakyat kini bersatu dan berdoa kepada Yang Maha Kuasa agar atlet harapan Malaysia ini bakal mengungguli acara yang mereka disertai.

Dalam situasi seperti ini terlarutlah perbezaan agama dan bangsa atlet berkenaan, yang penting pencapaian cemerlang untuk Malaysia, watan tercinta.

Muka hadapan akhbar yang kerap tersiar debat perbezaan politik, isu kepincangan masyarakat dan seribu satu perbezaan pendapat kini mula bersatu memaparkan kehebatan dan kegemilangan pencapaian atlet.

Tidak kurang juga yang membantu mengenalpasti isu yang melanda atlet. Lebih bermakna lagi apabila akhbar mula mempromosikan atlet agar mereka mendapat tajaan yang lebih baik dan terus cemerlang dalam prestasi sukan mereka.

Persatuan sukan yang sering bercakaran dalam isu pelantikan presiden, jurulatih dan giliran mengiringi atlet bertanding di peringkat antarabangsa kini mula berdamai dan mencongak strategi jangka panjang agar sukan mereka juga bakal cemerlang dalam Olimpik mendatang. tidak kurang juga yang mula mengintai bakat baharu yang bakal menjulang nama persatuan di Tokyo pada 2020 kelak.

Belang oren hitam lambang kemegahan

Apa yang lebih menarik ialah apabila kelompok si baju kuning, baju merah, baju oren dan baju hitam segera melupakan identiti baju berwarna mereka dan bersatu memakai baju baharu, belang oren hitam lambang kemegahan Malaysia.

Inilah kehebatan sukan yang kurang disedari ramai. Hebatnya kerana ia berjaya menyatukan seluruh masyarakat yang berbilang bangsa, agama, fahaman politik dan usia.

Hebatnya kerana sukan dapat mengetepikan perbezaan dan membina persamaan. Hebatnya kerana sukan boleh menghentikan percakaran dan membina penyatuan. Teruslah berjuang pahlawan negara kerana sesungguhnya andalah inspirasi sebenar wadah penyatuan bangsa untuk negara Malaysia tercinta.

Penulis ialah bekas atlet sukan kayak negara, pensyarah dan kini Pengarah Education Malaysia, Washington DC

Berita Harian X