Jumaat, 19 Ogos 2016 | 4:35pm

Anugerah Filem Terbaik Nasional trofi utama FFM28


Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menetapkan Anugerah Filem Terbaik Nasional sebagai anugerah utama kebangsaan pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), bulan depan.

Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, berkata kategori utama itu merujuk kepada filem terbaik yang dihasilkan rakyat negara ini menggunakan bahasa Malaysia sebagai pertuturan filem selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan.

Filem yang bersaing dalam kategori itu adalah Nota, Polis Evo, Munafik, Mat Motor - Kami Mot Motor Bukan Mat Rempit dan Jejak Warriors.

Sehubungan itu, penganjur berharap mekanisme baharu yang diputuskan secara kolektif itu perlu dihormati dan dilihat daripada sudut positif oleh semua pihak tanpa sebarang prejudis atau polemik.

"Selaku pengelola anugerah khusus untuk karyawan perfileman ini, FINAS mengambil kira setiap maklum balas serta pandangan pemimpin, karyawan industri dan masyarakat dalam menambah baik penganjuran FFM pada masa hadapan.

"Mekanisme baharu ini juga sudah diperhalusi selaras pemansuhan kategori Filem, Pengarah dan Lakon Layar Terbaik bagi Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia dan kewujudan Anugerah Filem Terbaik Berbahasa Kebangsaan sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Keputusan terbaharu itu adalah susulan pertemuan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak dengan FINAS dan wakil beberapa persatuan dalam industri perfileman, Selasa lalu.

Antara yang hadir pada perjumpaan itu ialah Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Seniman dan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM).

Mohd Khusairi berkata, semua persatuan menerima pencerahan pihak kementerian malah sepakat memberikan sokongan terhadap FFM28 berlandaskan semangat untuk terus memartabatkan industri kreatif tanah air selain mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Malaysia.

"Finas berharap semua pihak menerima keputusan ini selari dengan objektif utama FFM sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap pencapaian dan kecemerlangan karyawan industri filem negara," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, FFM28 memperkenalkan kategori Anugerah Filem Terbaik Malaysia sebagai anugerah terbaik festival kepada filem yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia dengan menggunakan sebarang bahasa yang dituturkan rakyat tempatan.

Calon bagi kategori itu adalah semua lima judul yang bersaing dalam anugerah utama iaitu Anugerah Filem Terbaik Nasional iaitu Nota, Polis Evo, Munafik, Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit dan Jejak Warriors serta lima karya lain.

Karya terbabit adalah Ola Bola (filem terbitan bersama Astro Shaw, Golden Screen Cinema dan Multimedia Entertainment); Jagat (Skyxen Sdn Bhd), Huat The Fish (The Film Engine), Maravan (Golden Peacock Film) dan The Kid From The Big Apple (Three Production).

Selain itu, kategori Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik bagi Filem Bukan Bahasa Malaysia dimansuhkan dan semua filem akan bertanding dalam kategori berkenaan tanpa mengira bahasa.

Anugerah bagi kategori lain yang sebelum ini dipertandingkan tanpa mengira bahasa dikekalkan.

Susulan perubahan dan penambahbaikan yang dibuat, FFM28 menyaksikan 10 finalis bersaing dalam tiga kategori utama iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Malam Kemuncak FFM28 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada 3 September depan.

35 dibaca
Berita Harian X