Rabu, 17 Ogos 2016 | 2:13pm

Eira Syazira ingin lahir anak kedua secara normal


EIRA Syazira.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Eira Syazira, berkongsi berita gembira dirinya kini hamil anak kedua dengan usia kandungan sudah pun mencecah empat bulan lebih.

Mengetahui dirinya berbadan dua ketika kandungan berusia empat minggu, Eira turut mendedahkan dirinya mengalami pendarahan pada awal kehamilan.

Menurut pelakon yang juga seorang penyanyi ini, insiden itu berlaku ketika dirinya masih terbabit dengan penggambaran sebuah drama komedi.

"Ketika itu, ada babak yang memerlukan saya memanjat pagar. Saya pula tidak tahu diri saya sedang hamil. Pendarahan berlanjutan pada trimester pertama kehamilan.

"Sudah tentu saya bimbang dengan keadaan berkenaan. Bagaimanapun syukur alhamdulillah, bayi dalam kandungan dilindungi Tuhan. Apabila pemeriksaan dilakukan, doktor turut mengesahkan bayi dalam keadaan baik.

"Mungkin faktor kepenatan kerana banyak bergerak membuatkan saya berdepan kejadian itu. Apatah lagi si anak sulung, Amarra bersekolah di Pulau Pinang ketika itu. Jadi saya memang selalu berulang-alik," katanya sambil memberitahu anak perempuannya kini sudah pun ditukarkan ke Kuala Lumpur.

Kata isteri kepada pelakon Azad Jasmin ini, jika diizinkan, beliau ingin melahirkan anak kedua secara normal.

Cahaya mata pertamanya itu dilahirkan menerusi pembedahan, dengan berat 4.3 kilogram.

Kata Eira lagi, Amarra atau nama penuhnya Amarra Sofea Rose juga teruja menunggu kelahiran adiknya pada tahun hadapan.

"Hampir setiap hari dia akan cium perut saya. Amarra cakap, dia tak sabar nak suapkan makanan kepada adiknya nanti," katanya.

Eira dan Azad mendirikan rumah tangga pada 16 September 2011 selepas bercinta selama 3 tahun.


EIRA Syazira kini hamil anak kedua dengan usia kandungan sudah pun mencecah empat bulan lebih.

EIRA Syazira (kiri) bersama suaminya, Azad Jasmin dan anak sulung, Amarra.

1677 dibaca
Berita Harian X