Jumaat, 12 Ogos 2016 | 11:01am
PENGERUSI MBG Keningau, Wahanin Ismail (duduk tiga dari kanan) ketika perjumpaan dengan Joseph Kurup (duduk tiga dari kiri) di Pejabat Perhubungan Ahli Parlimen Pensiangan. - Foto NSTP

Tingkatkan aktiviti pembelajaran di sekolah pedalaman

KENINGAU: Majlis Guru Besar (MGB) Keningau disaran melaksanakan lebih banyak aktiviti pembelajaran yang membabitkan murid dan pelajar di kawasan pedalaman Sabah sejajar usaha meningkatkan prestasi sekolah di kawasan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata pihaknya bersedia membantu MBG Keningau melaksanakan program yang berkaitan demi kemajuan pendidikan di kawasan pedalaman.

"MBG perlu melaksanakan lebih banyak aktiviti berkaitan pembelajaran untuk murid dan pelajar demi mencapai hasrat membangunkan bidang pendidikan dan meningkatkan pencapaian murid dan pelajar di kawasan ini.

"Kita akan bekerjasama dengan MBG Keningau dan membantu mereka demi mencapai sasaran itu," katanya dalam satu kenyataan berhubung kerjasama dengan MBG Keningau, di sini, hari ini.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, ia adalah susulan perjumpaan dengan MBG Keningau yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Pensiangan dalam usaha meningkatkan kerjasama berhubung pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman.

43 dibaca
Berita Harian X