Jumaat, 12 Ogos 2016 | 1:34am

FDAM tidak mahu terbabit dengan FFM28


SETIAUSAHA Kehormat FDAM, Datuk Abdul Rahim Awang.

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengumumkan enggan terbabit dalam Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), awal bulan depan.

Setiausaha Kehormat FDAM, Datuk Abdul Rahim Awang, berkata keputusan itu dibuat atas prinsip menghormati kedaulatan Perlembagaan dan Rukun Negara.

FDAM mendakwa usaha membenarkan, mengiktiraf atau mengangkat karya bukan berbahasa Malaysia untuk anugerah utama pada FFM28 adalah suatu tindakan penghinaan.

"FDAM tetap teguh dengan pendirian bahawa bahasa kebangsaan tidak boleh dipisahkan dengan seni dan budaya. Sebarang anugerah kebangsaan untuk karya seni mesti menggunakan bahasa Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengumumkan penyertaan untuk kategori Filem Terbaik pada FFM28 dibuka kepada semua penggiat seni tanpa mengira bahasa.

Berikutan keputusan itu, tiga kategori dalam kumpulan Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada FFM28 dimansuhkan.

Kontroversi tercetus apabila penganjur FFM28 iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) memperkenalkan pengasingan karya Filem Terbaik Bukan Berbahasa Malaysia yang mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk ahli politik dan tokoh korporat.

47 dibaca
Berita Harian X