Sabtu, 6 Ogos 2016 | 7:00am

Wasatiyyah dalam Perlembagaan Persekutuan

UMUM tahu Perlembagaan Persekutuan adalah hasil penerimaan semua pihak, kontrak sosial dipersetujui tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang membentuk Parti Perikatan. Peranan Raja-Raja Melayu juga tidak kurang pentingnya.

Suruhanjaya Reid yang menderaf perlembagaan bertulis bagi Tanah Melayu yang merdeka mengadakan 118 persidangan dan menerima 131 memorandum semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu.

Pada kaca mata kasar, Perlembagaan ini nampak bersifat berat sebelah, terutama membabitkan hak tertentu seperti kedudukan agama Islam (Perkara 3), hak keistimewaan orang Melayu dan pribumi (Perkara 153), Bahasa Melayu (Perkara 152) dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Pendekatan wasatiyyah Perlembagaan Persekutuan dapat dilihat dalam perkara berikut: Perkara 3 (1) berbunyi: "Islam adalah agama persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan" dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan mengambil pandangan UMNO dengan cadangan oleh hakim Abdul Hamid, salah seorang ahli Suruhanjaya Reid. Pada asalnya, ia dapat tentangan Raja-Raja Melayu yang bimbang kuasa ada pada baginda semua akan diambil oleh Kerajaan Persekutuan. Namun, setelah dapat kepastian ia sedikit pun tidak ambil kuasa Raja-raja Melayu, peruntukan amat penting ini dapat diterima oleh Raja-Raja Melayu.

Orang bukan Islam juga dapat terima peruntukan ini kerana diberi hak kerakyatan secara jus soli. Meskipun kebebasan agama diberi kepada orang bukan Islam untuk anuti dan amal agama tetapi ia tertakluk kepada halangan seperti dalam Perkara 11(4) mengenai mengembang agamanya. Kerana itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh kawal atau sekat pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam melalui undang-udang yang diperkenalkan.

Perkara 153: Keistimewaan Bumiputera Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak, bersifat wasatiyyah bagi mengimbangi pencapaian ekonomi Bumiputera Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak berbanding dengan bangsa dan etnik lain yang lebih maju. Perkara 153 menuntut Kerajaan Pusat melindungi 'kedudukan istimewa' orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dengan mengadakan kuota dan rizab dalam kemasukan ke perkhidmatan awam, biasiswa dan kemudahan pendidikan, pasca sekolah menengah, lesen dan permit.

Perkara 153 diterima pakai secara meluas dalam perkhidmatan awam. Peruntukan dalam Perkara 153 tidak izin amalan monopoli yang dilihat memihak kepada Bumiputera. Yang pasti, Yang di-Pertuan Agong hendaklah pelihara hak undang-undang bagi pihak berkepentingan dari pelbagai etnik.

Takrifan Melayu

Satu perkara amat menarik dalam Perlembagaan Persekutuan ialah takrifan Melayu tidak dinisbahkan dengan sesuatu etnik. Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan orang Melayu itu Islam, lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu dan berasal dari Tanah Melayu/Singapura atau ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura sebelum hari Merdeka; atau pada hari Merdeka itu, ia berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau ia keturunan seseorang tersebut. Takrifan ini mengharuskan seseorang yang bukan Melayu boleh menjadi Melayu sekiranya memenuhi syarat sebagai seorang Melayu.

Pendekatan wasatiyyah dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilihat dengan jelas dalam satu ikatan dikenali sebagai 'kontrak sosial' antara orang Melayu dan kaum Cina dan India dalam beberapa perkara babitkan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu, tanah rizab Melayu dan adat istiadat Melayu. Sebagai balasan, minoriti bukan Melayu dapat hak kerakyatan, kebebasan beragama, berkebudayaan, pendidikan dan ekonomi.

Cabaran generasi sekarang

Generasi muda terutamanya kurang memahami Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh, sewenang-wenangnya menafikan kewujudan kontrak sosial. Hujah mereka ialah perkataan 'kontrak sosial' tidak wujud dalam Perlembagaan. Benar, perkataan ini tidak ada dalam Perlembagaan. Persoalannya, apakah prinsip ini tidak wujud dalam roh Perlembagaan? Adalah salah seandainya seseorang mengatakan Perlembagaan 'membisu' dalam perkara berkenaan, kerana tidak tersurat sesuatu perkataan itu.

Ternyata dalam Perlembagaan itu, ada banyak perkara tersirat, tidak disebut satu persatu dan idea yang tidak tekstual. Penafian kewujudan kontrak sosial, sebenarnya menafikan kewujudan memorandum dimajukan oleh Perikatan kepada Suruhanjaya Reid. Ada juga pihak mempertikai kontrak sosial yang dibina pada 1957 tidak sesuai dengan tuntutan masyarakat sekarang dan menuntut Perlembagaan yang wujud dipinda ikut kehendak semasa.

Memang benar, pindaan terhadap Perlembagaan acap kali berlaku demi memenuhi tuntutan itu, namun asas penting dalam Perlembagaan yang menaungi semua pihak hendaklah kekal supaya ia tidak bawa kepada sebarang konflik antara kaum. Kompromi diamalkan sejak merdeka lagi hendaklah kekal kerana itulah hikmah sebenar yang wujud dalam kontrak sosial. Tuntutan agar dipinda sesetengah peruntukan asas seperti kedudukan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu adalah ibarat menjolok galah ke sarang tebuan di mana kesudahannya akan memakan diri sendiri.

Sesungguhnya, Perlembagaan Persekutuan mengimbangi kedudukan kaum majoriti pribumi dan kaum minoriti yang lain. Rahsianya ialah wasatiyyah iaitu 'memberi dan menerima', bebas dari ideologi dan pegangan agama yang ekstrem. Ia menyaksikan semua kaum dari pelbagai latar belakang agama dan etnik mendapat habuan masing-masing. Semangat toleransi yang tinggi dan penerimaan kontrak sosial oleh tiga kaum terbesar diikuti oleh etnik kecil lain, sebenarnya lahir dari pendekatan wasatiyyah yang kita sekian lama warisi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia

258 dibaca
Berita Harian X