;
Rabu, 3 Ogos 2016 | 10:58pm
Pengarah dan Pelakon filem Munafik, Syamsul Yusof dan pelakon utama, Nabila Huda. - Foto Saifullizan Tamadi

Filem pecah panggung kuasai pencalonan Top 5 FFM28


Filem terbitan Astro Shaw iaitu Ola Bola telah pun memulakan tayangannya pada 28 Januari 2016 lalu. Sejak filem ini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia serta Brunei, OlaBola telah berjaya mencatat kutipan mencecah RM8 juta dalam tempoh 13 hari! - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Filem terbitan Astro Shaw, Ola Bola, mendominasi pencalonan akhir Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 apabila disenaraikan dalam 14 daripada 27 kategori dipertandingkan.

Filem arahan Chiu Keng Guan itu turut dicalonkan dalam kategori Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia untuk Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik.

Mencatat kutipan pecah panggung kira-kira RM16 juta, filem yang menampilkan ramai bakat baharu itu mengisahkan suka-duka pasukan bola sepak kebangsaan pada era 80-an.

Polis Evo, sebuah lagi karya daripada syarikat produksi sama, pula menerima pencalonan dalam 10 kategori, termasuk dua bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Shaheizy Sam dan Zizan Razak.

Filem Munafik arahan Syamsul Yusof juga cemerlang apabila dicalonkan dalam sembilan kategori.

Bintang utama naskhah terbitan Skop Productions itu, Nabila Huda, berpeluang merebut trofi Pelakon Wanita Terbaik manakala Syamsul sendiri bersaing dalam kategori Pengarah Terbaik.

Seperti Ola Bola, kedua-dua judul berkenaan juga ialah filem yang mencatat pungutan hebat ketika ditayangkan di pawagam. Jika Polis Evo mencatat kutipan lebih RM17 juta, Munafik pula gah dengan pungutan RM19 juta.

FFM28 yang akan berlangsung dari 1 hingga 3 September depan turut menjenamakan semula kategori Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki Harapan dan Pelakon Wanita Harapan. Masing-masing kini dikenali sebagai kategori Pengarah Baharu Terbaik, Pelakon Lelaki Baharu Terbaik dan Pelakon Wanita Baharu Terbaik.

Malam kemuncak FFM28, yang dijadualkan pada 3 September, akan berlangsung di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC).

619 dibaca
Berita Harian X