Isnin, 1 Ogos 2016 | 3:34pm

Pos Laju sasar kendali 250,000kg bagasi musim haji


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (baris kedua, lima dari kiri) ketika bergambar kenangan bersama petugas Pos Malaysia yang akan bertugas semasa musim haji pada majlis perasmian Perkhidmatan Bagasi Haji (PBH) 2016 di Ibu Pejabat Pos Malaysia, hari ini.Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (baris kedua, tujuh kiri), Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan, Pendidikan dan Pertahanan DRB-HICOM Berhad, Datuk Mohamed Razeek Md Hussain (baris kedua, enam kiri), Ketua Bahagian E-Dagang dan Pos Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohamed Zaidi Abdul Karim (baris kedua, empat kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Postal dan Kurier Pos Malaysia Berhad, Azlan Shahrim (baris kedua, tiga kiri).- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd menerusi cabang kuriernya, Pos Laju mensasarkan untuk mengendalikan 250,000 kilogram bagasi dan barangan untuk jemaah haji Malaysia pada musim haji tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata beliau yakin dengan penambahan kaunter bagi perkhidmatan itu di beberapa lokasi terpilih di sekitar Makkah dan Madinah serta usaha promosi berterusan Pos Laju akan meningkatkan prestasi perkhidmatan berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, Pos Malaysia akan menghantar 35 petugas khas ke Arab Saudi bermula 3 Ogos hingga 21 Oktober 2016.

"Petugas akan ditempatkan di lima hotel di Makkah dan dua hotel di Madinah," katanya pada majlis Pelepasan Pasukan Petugas Haji Pos Malaysia di sini, hari ini.

Pos Malaysia akan mengenakan caj RM14 sekilogram bagi bagasi atau barangan yang dikirim ke Semenanjung dan RM19 sekilogram bagi penghantaran ke Sabah dan Sarawak.

Jemaah haji Malaysia boleh mengirim air Zam-Zam dengan bayaran RM115 bagi 10 liter ke Semenanjung manakala RM135 ke Sabah dan Sarawak.

335 dibaca
Berita Harian X