Selasa, 26 Julai 2016 | 3:07pm

Malaysia, AS tingkat usaha banteras pemerdagangan orang


AHMAD Zahid memberi cenderahati kepada Susan Coppedge, di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Malaysia sedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam aspek pendakwaan dan sabitan, termasuk mengenal pasti individu berpotensi menjadi mangsa eksploitasi buruh serta buruh paksa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu tidak hanya berdasarkan cadangan dikemukakan kepada Jabatan Negara AS, sebaliknya turut mengambil kira tanggungjawab Malaysia selaku anggota ASEAN.

"Pendirian ini selaras dengan Konvensyen ASEAN dalam Membanteras Pemerdagangan Orang Khususnya Wanita dan kanak-Kanak serta Pelan Tindakan Serantau mengenai jenayah terbabit, yang dipersetujui negara ASEAN di Kuala Lumpur pada November tahun lalu.

"Inisiatif Malaysia ini perlu mendapat sokongan penuh pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pindaan pada perundangan domestik mengenai jenayah ini sudah membuka ruang penyertaan dan pembabitan sepenuhnya oleh NGO terutama aspek perlindungan mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar AS Mengenai Pemerdagangan Orang merangkap Penasihat Kepada Ketua Setiausaha Negara AS, Susan Coppedge, di pejabatnya, di sini.

Perjumpaan hampir setengah jam dengan Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Mengenai Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) itu menyusuli laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (US TIP Report) 2016 keluaran Jabatan Negara AS di Washington pada 30 Jun lalu.

Penilaian Jabatan Negara AS dibuat terhadap 188 negara, termasuk Malaysia dan merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan, yang mengekalkan Malaysia di Tahap 2 Pemerhatian bagi 2016.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, turut menjelaskan kepada Coppedge mengenai usaha diambil negara untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang tanpa mengabaikan aspek kebajikan mangsa, selaras dengan amalan peringkat antarabangsa.

136 dibaca
Berita Harian X