Khamis, 14 Julai 2016 | 11:06am

Denda RM8,000 cuba eksport tepung jagung tanpa permit


Pegawai penguatkuasa MAQIS menunjukkan sebahagian tepung jagung dirampas daripada syarikat pembekal makanan yang menghadapi tuduhan cubaan mengeksport ke Singapura tanpa permit Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat pembekal makanan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah cuba mengeksport tepung jagung ke Singapura tanpa permit Jabatan Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Syarikat Dommal Food Services Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Besar, Seng Seng Kok, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabeth Payawan.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa cuba mengeksport 1,000 kilogram tepung jagung Semolina ke Singapura tanpa satu permit eskport yang sah daripada MAQIS.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan kira-kira jam 10 pagi pada 17 Mac lalu di laluan pemeriksaan bahagian eksport MAQIS, Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang dekat Gelang Patah, di sini.

Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa MAQIS, Siti Nur Ahmad, manakala syarikat diwakili peguam, Chow Yee Wan.

Mahkamah turut memerintahkan Seng Kok yang mewakili syarikat itu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

375 dibaca
Berita Harian X