Khamis, 14 Julai 2016 | 10:48am

Warga China godam firma pertahanan AS kena jel


Su Bin, warga China dijatuhi hukuman tiga tahun 10 bulan penjara selepas menggodam sistem komputer syarikat kontraktor pertahanan Amerika bertujuan mencuri rahsia perdagangan bagi pihak Beijing. - Foto www.darpanmagazine.com

LOS ANGELES: Seorang warga China dijatuhi hukuman tiga tahun 10 bulan penjara di sini semalam selepas menggodam sistem komputer syarikat kontraktor pertahanan Amerika bertujuan mencuri rahsia perdagangan bagi pihak Beijing.

Su Bin, 51, turut dikenali sebagai Stephen Su dan Stephen Subin, juga diarahkan hakim persekutuan membayar denda AS$10,000 (RM39,500).

Mac lalu, Su dalam satu perjanjian pengakuan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat mengaku bersubahat dengan dua pegawai tentera (yang tidak dinyatakan) di China untuk mendapatkan pelan jet pejuang F-22 dan F-35 serta pesawat pengangkutan tentera Boeing C-17.

Menurut dokumen mahkamah, ketiga-tiga mereka berjaya mencuri data sensitif itu dengan menggodam rangkaian komputer kontraktor pertahanan utama dan menghantar maklumat ke China.

Su, yang menguruskan sebuah syarikat penerbangan dan aeroangkasa berpangkalan di China dari Kanada, ditangkap pada Julai 2014 dan selepas menolak ekstradisi dipindahkan ke Amerika Syarikat untuk berdepan tuduhan.

Menurut dokumen mahkamah, Su terbang ke Amerika Syarikat sekurang-kurangnya 10 kali antara 2008 dan 2014, bersama rakan subahat beliau untuk mencuri data.

Beliau mengaku menghantar e-mel kepada dua rakan subahat beliau mengenai petunjuk individu, syarikat dan teknologi yang disasarkan.

Setelah data dicuri, Su mengaku menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris dan berhasrat untuk menjualnya.

Aktiviti pengintipan beliau dipuji di China sehingga media kerajaan mengangkat beliau sebagai seorang wira.

Tahun lalu, Amerika Syarikat mendakwa lima pegawai tentera China atas tuduhan pengintipan siber. - AFP

Berita Harian X