Ahad, 10 Julai 2016 | 3:12pm
KRU ISS (pada skrin, atas kiri ke kanan) Oleg Skripochka, Alexey Ovchinin, Commander Jeff Williams dan (bawah, kiri ke kanan) Kate Rubins, Anatoly Ivanishin dan Takuya Onishi ketika berkomunikasi dengan Pusat Kawalan Misi di Korolov, Russia. - Foto AFP

3 kru terbaharu sertai angkasawan ISS

WASHINGTON: Bilangan angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bertambah kepada enam dengan penyertaan tiga anggota kru Ekspedisi 48 di makmal orbit itu bagi membantu penyelidikan utama.

Angkasawan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), Kate Rubins; angkasawan Russia, Anatoly Ivanishin dari Roscosmos, dan angkasawan Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun, (JAXA), Takuya Onishi, menyertai anggota lain Ekspedisi 48 yang berada di stesen itu apabila hac dibuka antara kapal angkasa Soyuz MS-01 dan ISS.

Komander Ekspedisi 48, Jeff Williams dari NASA dan Jurutera Penerbangan, Oleg Skripochka dan Alexey Ovchinin dari Roscosmos menyambut kedatangan ketiga-tiga mereka di stesen berkenaan.

Dalam masa beberapa bulan, angkasawan di ISS dijadualkan menerima pelbagai kargo penerbangan bekalan membawa beberapa tan makanan, minyak, bekalan dan penyelidikan, kata NASA dalam kenyataan.

Misi perkhidmatan bekalan semula komersil kesembilan, SpaceX yang mengikat kontrak dengan NASA dijadualkan dilancarkan ke angkasa lepas tidak lewat daripada 18 Julai ini menggunakan kapal angkasa kargo Dragon.

Ia termasuk eksperimen menguji kemampuan bagi menyusun DNA, memahami kehilangan tulang, mengesan perubahan jantung dalam mikrograviti dan mengawal suhu di dalam angkasa lepas.

Rubins, Ivanishin dan Onishi dijadualkan berada di ISS sehingga lewat Oktober ini manakala Williams, Skripochka dan Ovchinin akan kembali ke Bumi pada September. - AGENSI

42 dibaca
Berita Harian X