Khamis, 7 Julai 2016 | 12:02am

Komputer riba jadi teman Zulfikar ketika memancing


ZULFIKAR dapat ketenangan untuk cari idea kerja kreatif. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KERJA kreatif memang memerlukan tempat yang khusus untuk mencari idea menarik.

Namun begitu, bukan mudah mencari tempat yang sesuai seperti tenang dan santai atau privasi, tetapi pada masa sama boleh melakukan aktiviti yang digemari seperti memancing.

Dalam hal ini, Zulfikar Ali Abdul Basir, 33, menjadikan kolam memancing sebagai tempat paling sesuai untuk melahirkan ilham menarik dan berkualiti dengan kerjanya sebagai pereka grafik di sebuah syarikat pengeluar produk penjagaan kesihatan yang berteknologi tinggi.

Pasti reka bentuk ilustrasi, tipografi, fotografi atau grafik motion yang dihasilkan harus menarik dan bertaraf dunia sekali gus berbeza dengan apa yang sudah orang lain hasilkan.

Biarpun tugasnya memang berat dan mencabar, namun hampir setiap hari Zulfikar akan kelihatan duduk di tepi kolam pancing bersama komputer riba untuk membuat kerja yang diamanahkan sambil duduk memancing.


AKSI Zulfikar ketika memancing di Kolam Memancing Predator, Jalan Sg Lui batu 19, Hulu Langat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ikan dilepaskan semula

Seawal jam 9 pagi, bapa kepada dua anak itu sudah kelihatan berdiri dan berjalan-jalan di tepi kolam, sebelum duduk di sebuah pondok yang disediakan untuk membuat kerja hariannya sambil menunggu dua jorannya disentap ikan yang menghuni patin, rohu, tongsan dan pacu.

Biarpun otaknya sentiasa berputar mencari idea baru untuk rupa bentuk grafik yang akan dihasilkan, matanya pula sentiasa menjeling ke arah dua batang joran yang sedang menunggu sentapan ikan.

Bagaimanapun, tidak semua ikan yang berjaya dijinakkan dibawa pulang, sebaliknya dilepas semula ke dalam kolam terbabit.

Zulfikar berkata, beliau mula mencari idea baharu dan menarik untuk kerja grafik di kolam memancing sejak 2007 tetapi ketika itu hanya membuat lakaran di atas kertas lukisan.


ZULFIKAR menjadikan kolam memancing sebagai tempat paling sesuai untuk melahirkan ilham menarik dan berkualiti dengan kerjanya sebagai pereka grafik. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Dapat sokongan majikan

Sejak enam bulan lalu, Zulfikar kelihatan membuat kerja sambil memancing di Kolam Predator di Hulu Langat.

Sebelum itu, beliau kerap berkunjung ke kolam memancing di Bukit Antarabangsa dan Shah Alam.

"Inilah cara saya mencari idea baru untuk reka bentuk grafik yang akan dihasilkan untuk majikan saya Primadona Worldwide Sdn Bhd. Saya beruntung kerana pengasas, pemilik dan pemegang saham syarikat itu, Datuk Dr Sarimah Ahmad memberikan kebebasan untuk membuat kerja harian yang dipertanggungjawab di tepi kolam memancing.

"Bagi beliau (Dr Sarimah), apa yang penting semua kerja harus disiapkan sebelum tarikh yang ditetapkan," katanya.


ZULFIKAR bersama hasil yang diperolehi di Kolam Memancing Predator. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ikan dalam kolam lebih sukar

Zulfikar Ali berkata, ada ketikanya apabila jadual tugas yang diterima terlalu padat, beliau terpaksa 'bercuti' beberapa hari untuk berada di kolam memancing.

"Ini mungkin cara saya. Bekerja sambil memancing. Ini kerana memancing memerlukan ketenangan dan kesabaran, begitulah juga apabila kita perlukan idea untuk menghasilkan kerja kreatif," katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya memancing, Zulfikar berkata biarpun kolam pancing mempunyai banyak ikan dan kerap dilihat berenang dan melompat banyak kali, namun agak sukar bagi seseorang pemancing memperoleh sekiranya tidak mengetahui jenis umpan yang sesuai.

Katanya, kalau memancing di sungai dan laut dalam peluang lebih mudah asalkan tekong yang membawa bot pancing membawa ke lubuk yang betul.


ZULFIKAR menyediakan umpan di Kolam Memancing Predator, Jalan Sg Lui batu 19, Hulu Langat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

INFO

  • Nama: Zulfikar Ali Abdul Basir
  • Asal: Felda Tenggaroh, Mersing, Johor
  • Kedudukan dalam keluarga: Anak keempat daripada tujuh beradik
  • Pendidikan:

  • Diploma Grafik dari Kolej Cosmopoint
  • Ijazah Sarjana Muda dalam Grafik Multimedia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
  • Jawatan: Pengarah Seni di Primadona Worldwide Sdn Bhd.
  • Pengalaman: Pernah bekerja dengan beberapa agensi pengiklanan

FAKTA NOMBOR

* 5 kolam - Menjadi pilihan Zulfikar

* 3 kolam - Terletak di Hulu Langat paling kerap dikunjungi

* RM30 - Bayaran memancing untuk tempoh tujuh jam


TIDAK semua ikan yang berjaya dijinakkan dibawa pulang, sebaliknya dilepas semula ke dalam kolam terbabit. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KOLAM PILIHAN ZULFIKAR

  • Kolam Memancing Predator di Batu 19 Jalan Sungai Lui, Hulu Langat
  • Kolam Kolam Pak Din di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang
  • Kolam Memancing Seksyen 24 Shah Alam
  • Kolam LS dan Kolam Lagenda, kedua-duanya di Hulu Langat.
95 dibaca
Berita Harian X