Sabtu, 2 Julai 2016 | 8:19pm

Lelaki ditahan hantar mesej bergambar jelik hina PM

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seorang lelaki di Kampung Tunku, Petaling Jaya tengah hari tadi kerana disyaki menghantar mesej bergambar bersifat jelik terhadap Perdana Menteri.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Tunku pada jam 12.15 tengah hari.

Katanya, satu laporan polis diterima pada 3.35 petang semalam, berhubung penghantaran mesej bergambar Perdana Menteri dalam aplikasi WhatsApp yang bersifat jelik.

"Suspek memuat naik mesej bersifat dan bertujuan menghina, lucah dan menyakitkan hati rakyat Malaysia itu atas nama 'Pa Ya' dalam kumpulan WhatsApp 'Bicara Politik Melayu'.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau keua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, turut dirampas satu telefon bimbit jenama Samsung G5 dan suspek akan direman di Mahkamah Majistret di sini, esok bagi membantu siasatan polis.

70 dibaca
Berita Harian X