Jumaat, 1 Julai 2016 | 8:55pm

Dua maut bas ekspres langgar pembahagi jalan


KEADAAN bas yang terbabit dalam kemalangan di KM194.9 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Bukit Merah di sini petang tadi. - Foto ihsan Bomba

BAGAN SERAI: Dua penumpang maut selepas sebuah bas ekspres terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer (KM) 194.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah arah utara di sini, petang tadi.

Dalam nahas itu jam 5.45 petang, penumpang wanita yang meninggal dunia dikenali sebagai Ho Mei Liang, 46, dari Pulau Pinang manakala pemandu bas Zulkifli Mohd Yusof yang cedera parah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gunung Semanggol.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata bas ekspres Plusliner berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai terbabas ke kanan setelah mengelak melanggar tayar yang jatuh di lorong kanan lebuh raya.

"Apabila mengelak bas itu telah melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya. Penumpang wanita yang duduk di kerusi penumpang di sebelah kanan terpelanting keluar ke cermin depan bas dan mati di tempat kejadian manakala pemandu bas ekspres itu pengsan dan telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gunung Semanggol," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan itu menyebabkan laluan itu mengalami kesesakan trafik sejauh 10 kilometer.

92 dibaca
Berita Harian X