Khamis, 23 Jun 2016 | 6:05pm

Pegawai perubatan cedera terkena raksa

MELAKA: Operasi Klinik Kesihatan Cheng di sini, terganggu apabila pihak berkuasa meminta bangunan itu dikosongkan akibat berlaku tumpahan raksa daripada alat pemeriksaan tekanan darah, tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu turut menyebabkan seorang pegawai perubatan di klinik terbabit cedera selepas terkena tumpahan raksa dianggarkan kira-kira lima mililiter (ml).

Difahamkan, alat pemeriksaan tekanan darah itu terjatuh sebelum jangka tekanan darah pecah dan terkena lengan kanan mangsa.

Serpihan tumpahan turut terkena meja, laci dan lantai dalam bilik pemeriksaan berkenaan.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Penguasa Kanan Bomba II, Ahmad Adli Abd Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.08 tengah hari, sebelum sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Tangga Batu DIHANTAR ke tempat kejadian.

Katanya, jentera Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh turut digerakkan bagi membantu mengawal kawasan tercemar dengan bahan kimia itu.

"Sejurus tiba pada jam 1.21 tengah hari, kita menerima laporan seorang pegawai perubatan klinik kesihatan lelaki tercedera di lengan kanan selepas terkena tumpahan raksa.

"Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada pesakit lain ketika kejadian itu.

"Pasukan HAZMAT mengambil tempoh kira-kira tiga jam untuk melakukan pembersihan dan menstabilkan kesan tumpahan cecair raksa berkenaan," katanya.

35 dibaca
Berita Harian X