Selasa, 21 Jun 2016 | 7:03pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh. - Foto Muhammad Sulaiman

Pos Malaysia lancar dropbox prabayar pos laju

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd, hari ini melancarkan perkhidmatan Dropbox Prabayar Pos Laju yang membolehkan pelanggan mengirim barangan mereka menggunakan mesin layan diri.

Pada peringkat awal, perkhidmatan itu hanya boleh didapati di Lembah Klang, sebelum pemasangan 40 unit lagi mesin layan diri di seluruh negara menjelang Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata perkhidmatan Dropbox Prabayar Pos Laju akan memudahkan urusan pelanggan, sekali gus melebarkan rangkaian sedia ada yang merangkumi 698 pejabat pos, 68 cawangan Pos Laju, Pos Laju Ezibox dan ejen Pos Laju.

Katanya, pelanggan Pos Laju akan mendapati proses kiriman barang menerusi perkhidmatan itu lebih mudah, tanpa perlu beratur di pejabat pos atau Pusat Pos Laju.

Lima unit mesin layan diri Dropbox Prabayar Pos Laju terletak di lokasi strategik di Lembah Klang iaitu di hab e-dagang Pos Malaysia di ibu pejabat di Kompleks Dayabumi, Pusat Pos Laju Bangi, pejabat pos di Tesco Extra Selayang, pejabat pos di Pasaraya Hiper Giant Seksyen 13 Shah Alam dan pejabat pos di Tesco Extra Cheras, katanya. - BERNAMA

265 dibaca
Berita Harian X